Covid-19:  Dua perlawanan di Belarus ditunda

Oleh Muzaffar Musa 12 Mei 2020 76
Covid-19:  Dua perlawanan di Belarus ditunda
Dua perlawanan dalam dua liga utama Belarus terpaksa ditunda berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Perlawanan Liga Perdana di antara FC Minsk dan Neman Grodno -- yang dijadualkan pada Jumaat ini -- terpaksa dibatalkan selain perlawanan divisyen kedua di antara Arsenal Dzerzhinsk dan pendahulu, Lokomotiv Gomel, turut berdepan nasib sama.

Persatuan bola sepak negara itu mengesahkan ia terpaksa dilakukan kerana terdapat kes disyaki dalam kalangan pemain Minsk dan Lokomotiv, namun belum menetapkan sebarang tarikh baru.

Belarus antara negara Eropah yang meneruskan saingan sukan utama mereka biarpun virus berkenaan masih tersebar.

Saingan Liga Perdana berlangsung dengan kehadiran penyokong di kala kebanyakan negara di benua itu terpaksa menghentikan kesemua aktiviti bola sepak mereka.

Semua venue diwajibkan untuk menyediakan beberapa stesen nyah kuman manakala orang ramai perlu memeriksa suhu badan mereka sebelum masuk ke stadium dan sesiapa yang berada di kawasan penonton perlu menjaga jarak mengikut corak papan catur yang disediakan.

Presiden, Alexander Lukashenko, secara berterus-terang mengakui keraguannya terhadap keparahan virus itu dan keperluan untuk mengekang penyebarannya.

Sebaliknya, dia berkata mereka yang mengalami jangkitan itu hanya terbunuh disebabkan komplikasi yang timbul daripada masalah kesihatan lain.

Pada 13 Apri lalu, dia berkata: "Tidak ada yang akan mati akibat koronavirus di negara ini. Saya mengumumkannya secara terbuka. Ini adalah keyakinan saya yang tegas."

Sehingga 11 Mei, Belarus merekodkan lebih 23,900 kes koronavirus yang disahkan, termasuk 135 kematian.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen