Dua pemain Parma telah memulakan tempoh pengasingan diri selepas diuji positif Covid-19, demikian disahkan kelab itu awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam laman web rasmi mereka, Parma mendedahkan lebih kurang 60 individu di kelab itu, termasuk pemain dan pegawai teknikal, diuji menjelang kebenaran menyambung latihan secara berkumpulan minggu depan.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, memberikan lampu hijau untuk setiap kelab menyambung semula sesi latihan secara berkumpulan bermula lusa, namun dua pemain Parma itu perlu meneruskan latihan secara bersendirian selepas didapati positif.

Kenyataan itu berkata: "Pada penghujung ujian itu, kesemua pasukan diuji negatif dalam dua ujian saringan Covid-19 yang dijalankan dalam tempoh 24 jam kecuali dua pemain yang didapati positif ujian pertama dan negatif ujian kedua.

"Kedua-dua pemain itu berada dalam keadaan fizikal yang amat baik dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Bagaimanapun, mereka ditempatkan untuk mengasingkan diri dan kelab ini akan sentiasa memantau perkembangan mereka."

Serie A direhatkan sejak Sassuolo menewaskan Brescia 3-0 pada 9 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Liga itu dan Persekutuan Bolasepak Itali masih belum bersetuju dengan protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan untuk liga itu bersambung.

Badan kesihatan mahukan keseluruhan pasukan dikuarantin selama 14 hari jika terdapat seorang pemain didapati positif Covid-19, di mana pasukan dan liga berkenaan berasakan ketetapan itu akan menjadikan penyambungan semula liga menjadi tidak praktikal dan memohon agar hanya pesakit diasingkan secara individu jika dijangkiti.