Liga Bolasepak Jerman (DFL) mengesahkan pemain tidak akan didenda sekiranya mereka tidak mengamalkan penjarakan sosial sewaktu meraikan jaringan.

Persoalan mengenai isu itu tiba apabila Dedryck Boyata dilihat memberikan ciuman di pipi rakan sepasukannya di Hertha Berlin, Marko Grujic, ketika menewaskan Hoffenheim 3-0 dalam aksi Bundesliga yang disambung semula malam tadi.

Perbuatan itu kelihatan tidak sesuai memandangkan pemain simpanan juga diminta memakai pelitup muka dan berada pada jarak yang jauh di antara satu sama lain.

Liga divisyen utama Jerman itu meneruskan saingannya selepas direhatkan sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Pemain lain, bagaimanapun, mengekalkan jarak mereka selepas menjaringkan gol dalam perlawanan itu dengan ada di antara mereka yang hanya bersentuhan siku.

Namun, tiada sebarang denda sekiranya rakan sepasukan memutuskan untuk bersama-sama meraikan jaringan mereka sepeti biasa kerana DFL hanya menyediakan garis panduan yang disyorkan mengenai perkara itu.

Jurucakap DFL berkata: "Keraian pemain bukanlah sebahagian daripada konsep organisasi perubatan 'Task Force Perubatan Sukan/Operasi Liga Khas', yang ditambah ke dalam buku peraturan DFL, Khamis lalu.

"Mengenai keraian itu, mereka hanya memberikan nasihat sebagai orientasi selain konsep -- oleh itu sebarang denda adalah tidak sah."

Kemenangan Hertha itu tiba dalam perlawanan pertama Bruno Labbadia sebagai pengurus pasukan dan dia mempertahankan pemainnya itu.

"Meraikan gol adalah sebahagian daripada bola sepak. Kita kerap diuji, jadi saya fikir anda boleh membenarkannya," kata Labbadia.

"Ia amat menyedihkan jika anda tidak membenarkan kami meraikannya lagi.

"Saya harap mereka di luar sana faham mengenainya. Ia hanya saranan (daripada DFL) untuk tidak melakukannya.

"Kami sudah duji negatif sebanyak enam kali dengan yang terbaru Jumaat lalu.

"Emosi adalah sebahagian daripada permainan ini, jika tidak, kami tidak perlu bermain lagi," katanya.