Bundesliga kini berada di landasan terbaik untuk menyambung aksi musim 2019-20 pada bulan depan tetapi keputusan akhir tertakluk kepada badan politik, kata Liga Bolasepak Jerman (DFL, semalam.

Dua liga tertinggi Jerman ditangguhkan sehingga 30 April ini susulan wabak coronavirus tatkala perhimpuan besar dilarang oleh kerajaan sehingga Ogos depan.

Bulan ini, Ketua Eksekutif DFL, Christian Seifert, berkata badan itu bekerja keras untuk memastikan saingan disambung pada bulan depan menerusi saingan secara tertutup.

Susulan daripada mesyuarat melibatkan 36 kelab semalam, DFL mengesahkan perancangan mereka untuk meneruskan saingan.

"Bundesliga sedia untuk bersambung, sama ada pada 9 Mei atau tarikh lain. Bukan kami yang menentukan tarikh sebaliknya badan politik," kata Seifert.

"Kami tidak menentukan tarikh tertentu. Kami hanya mampu memikirkan untuk menyambung saingan mengikut arahan pihak berkuasa. Tidak betul untuk DFL menentukan tarikh menyambung saingan.

"Jika arahan diterima minggu depan untuk menyambung saingan pada 9 Mei, ia akan berlaku. Segalanya tidak bergantung kepada kami. Kami hanya cuba menyediakan perancangan.

"Saingan patut berakhir pada 30 Jun. Jika perlu beraksi dalam Julai, kami akan lakukan. Kami tidak fikirkan musim depan. Perkara utama adalah menamatkan musim ini."

Antara prosedur yang perlu dilakukan ketika perlawanan adalah langkah penjagaan rapi, ujian secara kerap untuk memantau perlawanan. DFL juga akan menyediakan EUR500,000 (RM2.3 juta) kepada badan kesihatan untuk menyediakan alatan ujian coronavirus.

Had kemasukan ke stadium juga terhad kepada 213 orang pada hari perlawanan dan Seifert menggesa peminat untuk tidak berkumpul di luar.

"Apabila kami bersambung, elakkan untuk berkumpul di luar stadium," tambah Seifert.

"Jika tidak, peminat perlu menerima bahawa perlawanan tidak boleh diteruskan. Jika ia berlaku ketika aksi, perlawanan akan dibatalkan.

"Situasi ini juga memerlukan kami untuk bercakap mengenai perlawanan tanpa penyokong pada tahun depan. Kelab perlu menyediakan perancangan tanpa keuntungan hasil kehadiran penonton buat masa sekarang."