Ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer, berkata pemain Bundesliga harus peka dengan tanggungjawab mereka menjelang sepak mula baki perlawanan musim ini.

Kempen Bundesliga 2019-20 tertangguh sejak Mac lalu berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) dan hari ini, Canselor Jerman, Angela Merkel, akan mengumumkan tarikh saingan itu akan kembali.

Menurut laporan, kempen itu akan disambung Jumaat depan yang sekali gus menjadikan Bundesliga sebagai saingan pertama dalam kalangan lima liga domestik utama Eropah yang akan kembali sejak pandemik berkenaan melanda.

Pemain Hertha Berlin, Salomon Kalou, digantung ekoran mencabul langkah-langkah penjarakan sosial apabila tindakannya itu berpotensi menjejaskan harapan Bundesliga untuk kembali, lantas penjaga gol Bayern, Neuer, mendesak pendekatan yang bertanggungjawab.

"Saya sedar mengenai situasi ini yang akan mewakili keluarga bola sepak dan perlawanan. Nasihat akan diberikan sebelum kami dapat beraksi semula kerana kami mungkin akan menjadi contoh bola sepak kepada kelab amatur sehingga generasi muda -- termasuk membabitkan sukan lain, "tulisnya di ruangan akhbar Jerman, Frankfurter Allgemeine Zeitung.


"Bahkan negara-negara Eropah yang lain dan seluruh pelusuk dunia akan melihat kami. Ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar buat kami maka kami perlu perhatikannya dengan baik. Kami harus sedar bahawa ia juga penting buat kami ketika ini."

Tambahnya: "Sebagai contoh ikutan, kami adalah sebahagian daripada masyarakat. Kami hanya ingin beraksi tetapi itu sahaja tidak memadai buat masa ini."

Juara bertahan, Bayern, tercicir empat mata di belakang seteru utama, Borussia Dortmund, selepas 25 perlawanan sebelum musim ini tergendala.