Lionel Messi percaya bola sepak tidak akan sama seperti dulu lagi berikutan wabak COVID-19.

Di kala kempen di Perancis dan Belanda sudah berakhir, kancah liga utama Eropah secara beransur-ansur kembali dan diadakan di stadium tertutup.

Bundesliga disambung semula sejak 16 Mei lalu manakala Barca akan memulakan usaha merebut gelaran LaLiga yang akan kembali 11 Jun depan.

Di England, Liga Perdana Inggeris (EPL) pula akan bersambung 17 Jun sementara Serie A pada 20 Jun depan.

Bagaimanapun, implikasi kewangan ekoran perlawanan diadakan tanpa kehadiran penonton di stadium akan memberi kesan besar kepada kelab dan kejohanan di seluruh dunia.

Bercakap kepada El Pais, Messi berkata: "Saya tidak fikir bola sepak akan sama seperti dulu. Tetapi di luar konteks bola sepak sekalipun, saya berasakan kehidupan secara umumnya juga begitu.

"Kita semua yang telah mengalami situasi ini pasti akan dihantui peristiwa ini.

"Dalam kisah saya, ia mengenai perasaan sedih dan kecewa buat mereka yang paling menderita akibat kehilangan orang tersayang.



"Saya yakin bola sepak dan sukan secara amnya akan terjejas. Daripada segi kewangan, akan ada syarikat yang berkaitan dengan dunia sukan yang mungkin akan mengalami beberapa kesukaran akibat wabak COVID-19.

"Tetapi secara profesionalnya, memandangkan latihan dan perlawanan sudah dibenarkan, apa yang menjadi kebiasaan sebelum ini akan menjadi berbeza. Ia akan menjadi satu situasi yang janggal buat kami sebagai atlet malah juga kepada sesiapa yang harus mengubah dinamik rutin kerja mereka.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang berjuang di hospital, pusat kesihatan dan rumah penjagaan demi mengalahkan virus ini. Hampir kesemua daripada kita mempunyai keraguan tentang bagaimana keadaan dunia ini apa yang berlaku.



"Ketika perintah kawal pergerakan dan segala usaha yang dilaksanakan, ia membuat kita terkejut. Ramai yang mengalami tempoh yang sangat sukar kerana terkesan.

"Ramai yang kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan, bahkan tidak sempat mengucapkan selamat tinggal.

"Banyak perkara negatif dalam krisis ini tetapi saya rasa tiada yang lebih buruk selain kehilangan orang yang anda sayangi. Bagi saya, ia adalah sangat mengecewakan dan tidak adil."

Dalam masa sama, LaLiga mengesahkan usaha melengkapkan musim ini akan bermula dengan pertemuan 'derby' di antara Sevilla and Real Betis, 11 Jun sebelum saingan berakhir pada 19 Julai depan.