Ivan Rakitic percaya Barcelona seharusnya ditabalkan selaku juara LaLiga memandangkan mereka berada di puncak seandainya musim ini tidak dapat dihabiskan kerana wabak novel koronavirus (Covid-19).

Pasukan bimbingan Quique Setien itu menguasai kancah berkenaan dengan dua mata dengan baki 11 perlawanan tatkala LaLiga digantung sejak bulan lalu berikutan pandemik yang telah menjangkiti lebih sejuta orang itu.


Tonggak tengah itu berasakan Barca harus dinobatkan sebagai pemenang jika musim ini dibatalkan kerana mereka di kedudukan teratas walaupun pesaing terdekat, Real Madrid, hanya dipisahkan dengan dua mata.

"Kami mahu beraksi lagi dan memenangi liga dengan bermain," katanya kepada Movistar +.

"Saya juga faham bahawa jika kami tidak dapat kembali, musim ini harus berakhir. Sekiranya kami berada di puncak maka kami harus ditabalkan juara tetapi tarikh akhir itu haruslah dilepasi.

"Walau macam mana sekalipun, senario paling ideal adalah menyelesaikan saingan musim ini dengan mendapatkan perancangan baik, terutama mengenangkan musim depan juga."

Dengan kontraknya bakal berakhir 2021, Rakitic tidak terlepas dikaitkan dengan perpindahan.

Pemain antarabangsa Croatia tersebut menegaskan dia berpuas hati di Barcelona ​​dengan mengatakan: "Saya tidak mahu memberikan perasaan marah atau seumpamanya. Tidak seperti itu.

"Saya tenang dan gembira di mana saya berada ketika ini tetapi tentu saja ia melibatkan dua pihak dan kami mahu melakukan sesuatu dengan baik."