Atletico Madrid mengumumkan terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan di kelab itu menjelang kunjungan ke Lisbon bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kelab Sepanyol itu tidak mendedahkan identiti individu yang dijangkit itu dan masih tiada kepastian sama ada mereka adalah sebahagian daripada skuad kendalian Diego Simeone berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Atletico berkata kesemua pemain dalam pasukan utama dan kesemua yang berkaitan untuk berkunjung ke Lisbon telah menjalani ujian saringan koronavirus Sabtu lalu.

Ia bagi memenuhi permintan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menjelang pertemuan suku akhir di antara Atletico dan RB Leipzig, Khamis ini.

Lisbon juga akan menjadi venue bagi saingan separuh akhir dan final kejohanan itu.

"Daripada keseluruhan ujian yang dijalankan hari ini, dua daripadanya berakhir positif," kata Atletico.

Kelab itu berkata kedua-dua individu berkenaan telah diasingkan di rumah sambil menambah, pihak berkuasa kesihatan Sepanyol dan Portugal telah dimaklumkan mengenai perkara itu, termasuk UEFA, Persatuan Bolasepak Portugal dan Majlis Sukan Kebangsaan Sepanyol.

Ujian saringan lanjut akan dijalankan dan keputusannya akan diketahui sebelum pasukan itu berlepas dengan Atletico berkata dua keputusan positif itu bermakna perancangan mereka untuk melakukan latihan, termasuk perjalanan dan penginapan di ibu kota Portugal itu, terpaksa dirombak.

"Kelab ini akan menyusun jadual baru dengan UEFA dan apabila perancangan baru itu diperoleh, kami akan memaklumkannya kepada umum.

"Kami juga memohon agar maklumat peribadi kedua-dua individu yang didapati positif itu dihormati," tambah kelab itu.

Atletico berkata mereka mengadakan ujian saringan setiap minggu buat pemain dan kesemua yang berkait rapat dengan pasukan utama, di mana mereka tidak merekodkan sebarang kes positif bagi dua minggu sejak saingan LaLiga berakhir sebelum dua kes berkenaan dikesan.