Atletico Madrid mengesahkan Angel Correa dan Sime Vrsaljko diuji positif COVID-19 dan tidak akan beraksi dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang RB Leipzig di Lisbon awal pagi Khamis ini.

Pasukan Sepanyol itu mengumumkan semalam bahawa terdapat dua kes positif koronavirus di kelab itu tetapi tidak mendedahkan nama dan identiti atau sama ada mereka adalah sebahagian daripada skuad kendalian Diego Simeone itu atau tidak.

Bagaimanapun, Atletico kini mengesahkan penyerang mereka, Correa, dan pertahanan kanan, Vrsaljko, merupakan pemain yang diuji positif dan akan menjalani pengasingan di rumah masing-masing.

Seperti yang diperuntukkan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), kesemua ahli pasukan utama yang lain dan staf kejurulatihan Dortmund menjalani satu lagi ujian saringan semalam dan tiada pertambahan kes direkodkan.

Atletico akan kembali menjalani latihan di Lisbon untuk mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan menentang Leipzig.

Correa melakukan 44 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini, termasuk diturunkan sebanyak lapan kali dalam Liga Juara-Juara Eropah manakala Vrsaljko pula jarang mendapat peluang dan masih menjalani rawatan kecederaan lutut.