Pemain Real Madrid, Marco Asensio, memenangi pertandingan amal FIFA 20, membantu meningkatkan dana untuk memerangi coronavirus.

Ketika pandemik COVID-19 memaksa acara sukan dihentikan di seluruh dunia, LaLiga meneruskan saingan hujung minggu lalu menerusi alam maya.

Seorang pemain telah dijemput oleh seorang pemain permainan video Sepanyol, Ibai Llanos, untuk mewakili pasukan masing-masing dalam pertandingan FIFA 20.

Asensio -- yang diketepikan sepanjang musim 2019-20 ekoran kecederaan lutut yang serius -- bertukar padang ke Playstation.
Pemain berusia 24 tahun itu menggunakan masanya di luar padang dengan sebaik mungkin apabila mengatasi wakil Leganes, Aitor Ruibal, 4-2 dalam aksi final semalam.

Lebih EURO140,000 (RM665,210) telah diraih dan bakal disalurkan kepada UNICEF sebagai membantu perjuangan dunia untuk membendung wabak koronavirus, yang telah meragut lebih daripada 14,500 nyawa.

"Ia merupakan satu kejohanan yang menakjubkan," kata Asensio menerusi Twitter. "Sasarannya adalah untuk menikmatinya, bergembira dan menghiburkan orang-orang yang menghadapi kesusahan dan dana yang terkumpul digunakan untuk membantu memerangi COVID-19.

"Tahniah @IbaiLlanos dan semua yang menjayakan pertandingan ini."