Covid-19: Aksi Super Lig ditangguhkan

Oleh Nafis Abdullah 20 Mac 2020 51
Covid-19: Aksi Super Lig ditangguhkan
Saingan Super Lig Turki telah ditangguhkan sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian susulan wabak coronavirus.

Kebanyakan saingan di Eropah telah ditunda tetapi pihak penganjur liga di Turki meneruskan aksi minggu ini dalam stadium tertutup.

Semalam, badan pemain dunia, FIFPro, menggesa agar saingan di Turki dihentikan memandangkan wabak COVID-19 kian merebak.

Persekutuan Bolasepak Turki (TFF) kemudian mengesahkan empat saingan liga profesional dalam negara itu kini ditangguhkan.

John Obi Mikel menyaksikan kontraknya bersama Trabzonspor dibatalkan atas persetujuan bersama selepas secara terbuka mendakwa dia tidak selesa untuk  terus beraksi sambil pemain Liverpool yang dipinjamkan kepada Besiktas, Loris Karius, menulis dalam Instagram peribadi: "Saya tidak rasa bagus dan tidak mahu bermain bola sepak dalam situasi ini."

Lima liga tertinggi Eropah di England, Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis serta Liga Juara-Juara Eropah merupakan antara kejohanan yang dihentikan akibat wabak itu.

Euro 2020 dan Copa America juga diubah kepada tahun depan untuk memudahkan setiap kelab menamatkan saingan 2019-20.

Terdapat 192 kes disahkan di Turki dan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen