Juventus berkemungkinan akan memperoleh kemenangan percuma 3-0 ke atas Napoli selepas pasukan pelawat berkenaan enggan berkunjung ke Turin bagi perlawanan Serie A itu awal pagi tadi.

Napoli dinasihatkan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk tidak berkunjung ke mana-mana venue selepas Piotr Zielinski, Eljif Elmas dan seorang staf, Giandomenico Costi, diuji positif COVID-19.

Juve juga merekod dua kes positif dalam kalangan stafnya semalam -- di mana keseluruhan pasukan itu terpaksa diasingkan -- tetapi kemudian mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka bersedia untuk beraksi dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, empat jam sebelum sepak mula, Serie A menolak permohonan Napoli untuk menunda perlawanan itu ketika kelab berkenaan -- yang mengesahkan ketua jurulatih, Gennaro Gattuso, tidak positif koronavirus seperti khabar angin yang bertebaran sebelum ini -- secara teknikalnya hanya mempunyai 13 pemain yang dapat dibariskan.

Walaupun tanpa pihak lawan, Juve tiba di Stadium Allianz dan Andrea Pirlo masih menamakan kesebelasan utamanya biarpun tiada sebarang pemain turun ke padang memanaskan badan atau pada waktu sepak mula perlawanan itu.

Napoli akan melakukan sepusingan lagi ujian saringan hari ini dengan perlawanan mereka yang seterusnya adalah menentang Atalanta pada 17 Oktober ini.