Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 telah ditunda selama setahun berikutan pandemik Covid-19, demikian disahkan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

Susulan satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif CAF semalam, kejohanan yang akan berlangsung di Cameroon itu dijadualkan semula pada Januari 2022.

Tarikh kejohanan itu, termasuk baki pusingan kelayakan, akan ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, saingan wanita AFCON, yang sepatutnya berlangsung pada 23 November hingga 20 Disember depan, terpaksa dibatalkan.

Dengan AFCON dianjakkan setahun, Kejohanan Negara-Negara Afrika pula akan diadakan pada Januari 2021 selepas keadaan yang tidak mengizinkan berikutan pandemik berkenaan pada April lalu.

"Jawatankuasa Eksekutif CAF berpuas hati dengan komitmen yang diberikan pihak berkuasa Cameroon dalam menganjurkan dua kejohanan ini," kata Presiden CAF, Ahmad Ahmad.

"Cameroon sudah bersedia untuk menganjurkan kedua-dua kejohanan yang sedang dijadualkan itu."

Liga Juara-Juara Afrika, yang ditangguhkan di peringkat separuh akhir, akan kembali bersambung tanpa format timbal balik September depan. Kejohanan wanita pula akan bermula pada 2021.

Turut dimaklumkan bahawa Anugerah CAF tidak akan diadakan bagi tahun ini.