Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum mendapat sebarang penetapan tarikh untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 -- namun akan berlangsung sekitar September dan Oktober 2020.

Tiada sebarang keputusan rasmi daripada pihaknya walaupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah memberi pengesahan penundaan perlawanan ekoran kebimbangan penularan wabak novel koronavirus yang baru (covid-19).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, menegaskan segalanya perlu melewati tempoh waktu yang ditetapkan memandangkan isu ini melibatkan seluruh dunia yang terlibat dengan aksi kelayakan.



"Kami perlu mengingatkan bahawa ada dua perlawanan yang boleh ditetapkan pada September dan satu pada Oktober.

"Tetapi ketiga-tiga tarikh ini masih belum cukup untuk pusingan kelayakan ini dihabiskan kerana kami perlu mengatur empat perlawanan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, di Pejabat AFC, Bukit Jalil, hari ini.

Tambahnya, turutan perlawanan masih akan dikekalkan mengikut format yang telah ditetapkan.

Ini adalah kerana penyusunan jadual perlawanan bergantung kepada kedudukan ranking pasukan.

"Kami merancang untuk meneruskan perlawanan mengikut tarikh dan turutan yang ditetapkan.

"Kami tidak mahu ada perlawanan yang mendahului perlawanan yang lain."

Malaysia, ditempatkan dalam Kumpulan G yang turut dihuni Indonesia, Vietnam, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), masih mempunyai baki tiga perlawanan manakala UAE pula berkelebihan satu perlawanan.