Covid-19: 10 kes positif ujian saringan awal Bundesliga 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mei 2020 408
Covid-19: 10 kes positif ujian saringan awal Bundesliga 
Liga Bolasepak Jerman (DFL) melaporkan 10 kes positif wabak novel koronavirus (Covid-19) kepada Kementerian Kesihatan Jerman sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyambung kempen Bundesliga dan 2.Bundesliga.

Sejumlah pasukan termasuk juara bertahan, Bayern Munich, kembali menjalani latihan di pangkalan kelab masing-masing sambil mengambalkan langkah-langkah penjarakan sosial.

Sejak Khamis lalu, sebanyak 1,724 ujian saringan telah dilakukan ke atas 36 kelab dalam dua divisyen utama Jerman itu yang merangkumi sampel pemain, jurulatih dan kakitangan yang diuji di lima makmal.

Bagaimanapun, identiti individu atau kelab yang dikesan positif tidak akan didedahkan oleh DFL di sebalik Cologne mengesahkan tiga kes pandemik itu Sabtu lalu.

Dynamo Dresden kemudian mendedahkan salah seorang pemain mereka dikesan positif walaupun bebas gejala dan dia sudah pun diarahkan menjalani kuarantin selama dua minggu.

Ujian saringan kedua sedang dilakukan minggu ini sebelum latihan penuh pasukan dibenarkan. Ia memerlukan persetujuan pihak berkuasa tempatan sambil langkah dua sesi ujian saringan akan diteruskan setiap minggu. 

"Ujian yang dilakukan sejak beberapa hari lalu telah mencapai matlamatnya dalam usaha meningkatkan keselamatan dan melindungi barisan pemain dengan sebaik mungkin daripada jangkitan wabak itu ketika latihan pasukan atau perlawanan," menurut DFL dalam satu kenyataan.

"Dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, langkah ini akan diteruskan secara tekal dalam menerapkan langkah-langkah yang perlu dipatuhi kelab dan pihak swasta pada setiap hari. 

"Sekiranya didapati positif, langkah-langkah yang harus diambil terletak di tangan pihak berkuasa kesihatan tempatan."

Cologne turut mendedahkan tiada keputusan positif dalam saringan kedua semalam. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen