Bintang Liverpool dan Brazil, Philippe Coutinho, menegaskan bahawa dia cergas 100 peratus berikutan kecederaan paha yang dialami dan sedia untuk diturunkan berdepan England di Wembley, Rabu ini.

Oktober 22 merupakan kali terakhir Coutinho beraksi buat Liverpool ketika tewas 4-1 kepada Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan kecederaan otot yang dialami memaksa dia terlepas tiga perlawanan seterusnya.

Countinho telah dipanggil menyertai skuad Brazil dan terpaksa menyaksikan rakan senegaranya berdepan Jepun tetapi proses pemulihan pemain berusia 25 tahun itu telah mengikut perancangan yang ditetapkan.

Aksi bertemu England akan menjadi peluang terbaik untuk menguji kecergasannya sebelum kembali bersama Liverpool.

"Saya tidak dapat beraksi untuk Liverpool dalam tiga perlawanan kerana masalah kecederaan," kata Coutinho.

"Saya sudah berada pada tahap terbaik, pulih sepenuhnya dan bersedia untuk berdepan England.

"Saya tidak mahu terlepas sebarang perlawanan untuk Brazil.

"England akan menjadi lawan dari Eropah buat kali pertama sejak di bawah kendalian Tite (jurulatih Brazil).

"Mereka memiliki ramai pemain yang berkualiti beraksi dalam EPL. Ia akan menjadi satu tugasan yang sukar," katanya.