Philippe Coutinho mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pinjamannya bersama Bayern Munich tamat tetapi mungkin akan kekal bersama Barcelona, menurut ejen, Kia Joorabchian.

Coutinho meninggalkan England untuk menyertai Barca pada 2018 setelah lima tahun di Liverpool, The Catalans mendapatkan khidmatnya bagi mengambil alih tempat Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun sebelumnya.

Penghijrahan itu kelihatan tidak memberikan hasil, musim pertamanya di Nou Camp berakhir dengan kurang cemerlang, selepas dia kerap kali diberikan kritikan oleh penyokong Barca.

Dia dipinjamkan ke Bayern tahun lalu, dengan juara Jerman itu diberikan pilihan untuk membeli pemain kebangsaan Brazil itu yang bernilai EURO120 juta, tetapi hanya membuat 15 penampilan dalam kesebelasan utama bagi musim 2019-20.

Coutinho kelihatan tidak memiliki masa depan di Barca, sementara beberapa kelab Inggeris berminat mendapatkan khidmatnya, namun Joorabchian berkata masih tiada keputusan yang dilakukan.



"Buat ketika ini, mengenai Coutinho, dia kekal fokus untuk peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara," kata ejen itu kepada TalkSPORT.

"Dia bakal mengharungi perlawanan yang penting -- berdepan kelab utamanya bersama kelab yang dipinjamkan musim ini. Jadi, ia merupakan situasi yang sangat penting buat dirinya.

"Dia akan bermain untuk Barcelona, dia menantikannya. Dia mahu memenangi UCL. Saya berasakan mereka [Bayern] memiliki pasukan yang berpotensi.

"Dia juga gemar untuk kembali ke EPL, tetapi situasi kewangan dan bilangan kes melibatkan Covid-19 akan memainkan peranan yang besar."