Coutinho fokus final UCL di sebalik spekulasi perpindahan

Oleh Muzaffar Musa 21 Ogos 2020 1461
Coutinho fokus final UCL di sebalik spekulasi perpindahan
Penyerang Bayern Munich, Philippe Coutinho, menegaskan bahawa dia fokus sepenuhnya untuk menghadapi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di sebalik desas-desus mengenai masa depannya.

Coutinho akan melakukan penampilan terakhirnya bersama Bayern dalam final UCL menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Lisbon hujung minggu ini sebelum kembali ke pangkuan kelab asalnya, Barcelona.

Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Brazil itu dijangka akan meninggalkan Barcelona untuk mengikat kontrak tetap bersama Arsenal.

Coutinho, yang menyertai Barcelona daripada Liverpool pada 2018, menegaskan fokusnya ketika ini hanyalah untuk membantu Bayern dalam final berkenaan.

"Minda saya hanya fokus kepada kejohanan ini," kata perancang itu kepada Esporte Interativo.

"Ia peluang yang unik buat kami, saya amat gembira untuk berada dalam final UCL.

"Mengenai masa depan, saya belum memikirkannya kerana hanya memikirkan mengenai final itu," katanya.

Coutinho menghasilkan 11 gol dan sembilan bantuan jaringan daripada 37 penampilannya dalam kesemua kejohanan buat Bayern musim ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen