Thibaut Courtois akan menangguhkan perbincangan mengenai kontrak barunya bersama Chelsea sehingga akhir musim ini.

Pemain kebangsaan Belgium itu masih belum menyatakan sebarang persetujuan terhadap perjanjian baru untuknya kekal di Stamford Bridge walaupun sebelum ini mendedahkan keinginan untuk kekal pada pertengahan tahun lalu.

Tatkala Chelsea kini bergelut untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi pada musim lalu dan skuad The Blues menyasarkan tempat dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara, Courtois tidak mahu isu kontrak menjejaskan fokusnya.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu bakal menamatkan kontraknya pada musim panas 2019, namun Courtois – yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid – gembira untuk menyambung perbincangan apabila tamat musim ini.

“Mengenai kontrak saya, ia sesuatu yang perlu Chelsea bincang dengan ejen saya, Christophe Henrotay.

“Setakat ini, saya tidak rasa wujud sebarang perkembangan.

“Kami menghadapi perlawanan yang sangat banyak ketika ini dan saya lebih suka untuk fokus kepada aksi pasukan dan persembahan individu. Pasti akan ada masa pada hujung musim untuk meneruskan perbincangan,” kata Courtois.