Courtois sangkal khuatir Real Madrid lantik Conte, Mourinho 

Oleh Penulis Jemputan 27 Oktober 2018 1447
 Courtois sangkal khuatir Real Madrid lantik Conte, Mourinho 
Thibaut Courtois menempelak laporan yang mendakwa dia cukup tidak puas hati sebaik mengetahui minat Real Madrid terhadap pelantikan Antonio Conte atau Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Laporan El Pais mendakwa pemain Belgium tersebut terkejut apabila diberitahu salah seorang bekas pengurusnya di Chelsea mungkin menuju ke Santiago Bernabeu untuk menggantikan Julen Lopetegui.

Laporan itu memetik Courtois sebagai memberitahu rakan sepasukan di pangkalan latihan Madrid: "Saya sukar mempercayainya, saya merupakan satu-satunya pemain di sini yang pernah bekerja di samping Conte dan Mourinho.

"Saya meninggalkan London supaya tidak melalui sesuatu seperti itu lagi dan kini ternyata Conte akan datang dan kalau bukan dia, Mourinho."

Courtois kemudian dikatakan menyifatkan Roberto Martinez sebagai "sempurna" untuk tugas itu setelah diminta pendapatnya mengenai pengurus Belgium itu yang juga merupakan salah seorang calon pilihan.

Courtois, bagaimanapun, bertindak balas terhadap dakwaan itu di Twitter dengan menegaskan kisah itu tidak benar dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia tidak diperbetulkan.

"Saya dengan tegas menyangkal maklumat yang diterbitkan El Pais mengenai saya pada hari ini," tulisnya.

"Ia pembohongan yang menjejaskan karier saya sebagai seorang yang profesional dan saya harap ia diperbetulkan dan saya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang."

Lopetegui secara meluas dilaporkan berhadapan dengan pemecatan susulan permulaan sukar musim ini, termasuk lima perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan.

Bekas jurulatih Sepanyol itu dipercayai akan dipecat selepas pertembungan 'El Clasico' esok tanpa mengira sama ada Madrid mengalahkan Barcelona atau tidak.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen