Thibaut Courtois percaya keputusan Real Madrid untuk memberi tekanan kepada Barcelona dan melakukan gerakan dari bahagian bawah telah memberi pulangan dalam aksi El Clasico.

Dalam perlawanan ke-50 selaku pemain Los Blancos, penjaga gol, Courtois, melakukan aksi tangkas menafikan percubaan Arthur dan Lionel Messi dalam babak pertama.

Ia menjadi pemangkin buat Real untuk meledakkan gol dalam separuh masa kedua menerusi Vinicius Junior dan Mariano Diaz tatkala skuad kendalian Zinedine Zidane itu meraih kemenangan 2-0 di laman sendiri sekali gus naik ke puncak LaLiga.

Courtois berpendapat percaturan Real memberikan perbezaan dan gembira dapat memainkan peranan sebelum rehat.

"Menentang Barcelona, anda bola bermain dalam dua cara. Masuk ke dalam kawasan sendiri dan bertahan atau memberi tekanan serta mengambil risiko," katanya.

"Kami melakukannya dengan baik dan memenangi aksi Clasico sentiasa bagus.

"Sewaktu kedudukan 0-0 dalam babak pertama, penting untuk tidak dibolosi. Ia berlaku ketika saya melakukan aksi tangkas menafikan usaha Arthur dan Messi.

"Kemudian, dalam babak kedua, kami tampil lebih baik dan memberikan perbezaan."

Courtois juga berpendapat Real beraksi dengan baik walaupun mengalami kekalahan di tangan Levante dan Manchester City, baru-baru ini.

Kini, selepas meraih mata penting ketika berdepan Barca, dia menggesa rakan sepasukannya agar tidak leka menjelang pertemuan dengan Real Betis, Ahad ini.

"Kami mendahului tetapi harus diingat masih ada 12 perlawanan," tambahnya.

"Selepas ini, kami bertandang ke Betis dan jika mahu memenangi LaLiga, kami harus menang di sana.

"Selepas keputusan sebelum ini, kami meneruskan usaha dengan baik. Saya fikir kami beraksi lebih bagus dalam perlawanan-perlawanan itu tetapi tidak menang.

"Bola sepak adalah tentang perkara kecil dan kali ini, kami meraih kemenangan hasil bantuan penyokong. Itu kunci utama dan mereka sangat hebat."