Courtois: Kritikan Simeone hanya untuk populariti

Oleh Staff Writer 16 Disember 2018 1468
Courtois: Kritikan Simeone hanya untuk populariti
Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, mendakwa kritikan yang dilemparkan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, ke atas pasukannya hanya bertujuan untuk meraih populariti.

Simeone sebelum ini mengkritik anugerah Ballon d'Or yang dimenangi Luka Modric, namun Courtois menganggap kritikan itu sebagai "keperluan berterusan untuk melemahkan Real Madrid".

Menurut Simeone, penyerangnya, Antoine Griezmann dan pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, lebih layak untuk meraih Ballon d'Or edisi ini.

Simeone turut mendakwa Courtois dinobatkan penjaga gol terbaik hanya disebabkan dia bermain untuk Real Madrid.

Perkara itu jelas menimbulkan kemarahan Courtois yang membalas kritikan bekas jurulatihnya itu secara terbuka dalam sidang media.

"Simeone mengkritik Real Madrid hanya kerana mahu meraih populariti daripada peminat.

"Dia sentiasa melakukan perkara itu, menyerang Madrid kerana kami pasukan terbaik dunia.

"Setiap orang mempunyai pandangan yang perlu dihormati.

"Setiap orang boleh bercakap mengenai apa yang mereka mahukan.

"Namun, saya pernah bersamanya selama tiga tahun sebelum ini.

"Apabila anda kerap mengkritik Real Madrid kerana mereka pasukan terbaik dunia, anda hanya melakukannya untuk meraih populariti.

"Dia menyatakan saya meraih anugerah penjaga gol terbaik kerana saya mewakili Real Madrid.

"Namun, ketika dalam Piala Dunia lalu, saya masih mewakili Chelsea.

"Undian buat anugerah itu ditutup pada Julai lalu.

"Penjaga gol Atletico, Jan Oblak, juga seorang penjaga gol yang baik, namun keputusan dibuat berdasarkan undian," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen