Thibaut Courtois percaya bahawa dia tidak menerima pengiktirafan yang sewajarnya berhubung persembahannya di Real Madrid berbanding ketika di Atletico Madrid.

Selepas permulaan yang sukar di Madrid sebaik tiba dari Chelsea pada 2018, penjaga gol tinggi lampai itu muncul salah seorang tonggak Los Blancos yang paling tekal dalam dua musim terakhir ini.

Dia mengharungi 11 perlawanan tanpa bolos dalam LaLiga musim ini -- pemain Atletico, Jan Oblak, merekodkan pencapaian lebih baik menerusi 12 perlawanan -- sementara sebaris dengan Oblak apabila mematahkan 29 percubaan sejak awal 2019-20 .

Courtois selalu menerima pujian daripada pengurus, Zinedine Zidane, atas ketangkasannya tetapi pemain berusia 28 tahun itu percaya pencapaiannya tidak sepenuhnya dihargai oleh semua orang, terutama di tanah airnya sendiri.

Pemain antarabangsa Belgium itu, yang menghabiskan tiga musim mewakili Atletico sebelum berhijrah ke Chelsea kemudian ke Madrid, memberitahu HLN: "Saya mengharungi tiga tahun hebat di Atletico. Saya menerima pujian daripada seluruh Belgium. Saya menjadi Olahragawan Terbaik Tahunan dan saya fikir ia sesuatu yang bagus.





"Hari ini saya berasakan bahawa segala yang saya lakukan kini adalah sesuatu yang normal. Persembahan saya dalam perlawanan menentang Real Valladolid, saya rasa sepertinya (tiada pujian diterima).

"Nampaknya aksi berterusan bersama kelab terbesar di peringkat tinggi di dunia bukan lagi ukuran kepada usaha anda."

Courtois pada awalnya bergelut untuk mempertahankan posisinya dalam kesebelasan utama Madrid sehingga berulang kali mengundang kritikan dalam kempen pertamanya di Santiago Bernabeu.

Namun, dia membantu Los Blancos meraih gelaran LaLiga musim lalu dan kental tidak membenarkan pintu golnya mudah ditembusi, lebih-lebih lagi dalam kemenangan penentuan sepakan penalti menentang Atletico dalam final Supercopa de Espana lalu.

Begitupun, pemilihan penyerang Inter, Romelu Lukaku sebagai 'Pemain Belgium Luar Negara Terbaik' dalam Majlis HNL pada 2019-20 sekali gus mengatasinya kembali menimbulkan kebingungannya.

"Apabila anda melihat kedudukan asal saya di Real Madrid, saya umpama terselamat daripada tsunami di sana," katanya lagi yang dijangka akan dipertaruhkan untuk menghadapi pertemuan 'derby Madrid' malam ini.

"Pada 2020, saya memenangi Supercopa menerusi penentuan sepakan penalti, kemudian saya membaca analisis mengenainya: 'Lukaku lebih layak meraih trofi Pemain Belgium Luar Negara tahun ini kerana dia sering bersama pasukan kebangsaan sementara Courtois menarik beberapa kali'.

"Saya mungkin boleh faham mengapa Lukaku diberikan penghargaan atas anugerah itu tetapi saya juga layak mendapatnya. Malah, saya turut tidak dicalonkan untuk Atlet Terbaik.

"Ini tidak masuk akal. Hakikatnya, saya berasa lebih dihargai di Sepanyol dan juga di luar Sepanyol berbanding di Belgium."