Thibaut Courtois percaya Eden Hazard akan mengganas di Real Madrid selepas dibelenggu episod kecederaan.

Hazard belum membuat kemunculan di Sepanyol musim ini kerana perlu menjalani rawatan otot apabila hampir mengatasi masalah pergelangan kaki.

Pemain kreatif itu bergelut untuk mencipta impak bersama gergasi LaLiga berkenaan dalam musim pertamanya selepas ditandatangi daripada Chelsea tahun lalu.

Namun, rakan sepasukannya di kem Belgium dan Madrid itu yakin Hazard semakin hampir cergas untuk beraksi di Santiago Bernabeu.

"Hazard? Saya tidak meraguinya, saya pasti kita akan dapat melihat aksi terbaik Eden Hazard," kata penjaga gol itu kepada Cadena SER, sebentar tadi.

"Dia merupakan individu pertama yang mahu membuktikannya keupayaannya. Saya melihatnya dapat berlatih dengan baik dan mudah-mudahan dia dapat membuktikannya.

"Sebelum tercedera, dia telah menempuhi beberapa perlawanan dengan baik sebelum mengalami nasib buruk dan tersisih bukannya situasi mudah.

"Tetapi bulan ini saya lihat dia berlatih dengan sangat baik. Saya yakin dalam masa yang singkat, dia akan 'meletup' dan akan membawa lebih banyak kegembiraan kepada pasukan."


Courtois tiba di Madrid dari Chelsea pada 2018 dan turut berdepan situasi sukar di peringkat awalnya sebelum berjaya mengubah nasibnya.

Pemain berusia 28 tahun itu memberi penghargaannya kepada pengurus, Zinedine Zidane, kerana terus menyokongnya.

"Zidane memberi saya banyak keyakinan. Saya sering berasakan bahawa dia memberi sokongan kepada saya dan itu penting," katanya lagi.

Dalam empat perlawanan setakat ini, statistik menyelamat bintang Belgium itu menunjukkan peningkatan kepada 86.7 peratus berbanding 79.2 tahun lalu selepas dia menepis 302 percubaan.

Madrid, yang memimpin LaLiga dengan 10 mata daripada empat perlawanan akan menjadi tuan rumah kepada Cadiz, tengah malam Ahad ini.