Thomas Tuchel memuji kebangkitan wira hatrik, Kylian Mbappe, selepas berdepan kesukaran ketika menghadapi Borussia Dortmund memandangkan gandingannya bersama Neymar di barisan depan itu akan memainkan peranan besar bersama Paris Saint-Germain (PSG).

PSG mempertaruhkan formasi 4-3-3 yang janggal bagi mereka, Mbappe bergelut untuk memberi impak ketika pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Dortmund bulan lalu.

Bagaimanapun, sejak kekalahan 1-2 di pentas Eropah itu, prestasi penggempur antarabangsa Perancis berkenaan semakin meningkat dalam aksi domestik dengan menyumbat enam gol dalam tiga perlawanan.

Jaringan hatrik yang dilakar Mbappe pada awal pagi tadi membantu kemaraan PSG ke perlawanan akhir Coupe de France, justeru pengurus, Tuchel, gembira dengan persembahan pemain berusia 21 tahun itu ketika membenam Lyon 5-1.


"Aksi Mbappe sangat mantap dalam beberapa minggu terakhir ini, dia mempunyai tempoh yang sukar di Dortmund apabila dikerah di posisi yang berbeza. Ia jelas sukar baginya ketika menentang Dortmund," katanya kepada media.

"Di samping Neymar, mereka sangat mantap ketika bergandingan. Selepas menentang Dortmund, Mbappe menunjukkan reaksi hebat dalam setiap sesi latihan dan ketika menentang Dijon dan Lyon.

"Dia sangat kuat, dia menggunakan kelajuannya dengan sangat baik, dia sangat berbisa. Dia kini di tahap yang baik."

Dalam aksi awal pagi tadi itu, Neymar turut mencetak gol apabila menyempurnakan sepakan penalti dalam separuh masa kedua selepas bola didapati terkena tangan Marcal.

Sebagai hukuman, pertahanan Lyon itu mengutip kad kuning kedua sekali gus memberi ruang untuk PSG memporak-perandakan 10 pemain lawan.

Mbappe menokok dua gol lagi selepas menyamakan kedudukan dalam babak awal manakala Pablo Sarabia turut menjaringkan gol pada lewat permainan.