Pemain sayap Juventus, Douglas Costa, mungkin terpaksa melupakan baki saingan musim ini ekoran dibelenggu kecederaan.

Costa dimasukkan dalam separuh masa kedua ketika Juve tewas mengejut 1-2 kepada Udinese semalam, perlawanan di mana Juve sepatutnya boleh mengesahkan gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut menerusi kemenangan.

Pemain antarabangsa Brazil itu dijangka tersisih selama 15 hari, sekali gus bakal terlepas baki tiga perlawanan liga selain menentang Lyon dalam pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

"Douglas Costa telah menjalani pemeriksaan di J Medical pagi ini dan dia dikesan mengalami kecederaan tahap dua di otot paha kanannya. Ia akan dinilai semula dalam masa 15 hari," demikian menurut satu kenyataan Juve.

Pasukan bimbingan Maurizio Sarri berharap dapat mengakhiri pemburuan Scudetto ketika menyambut Sampdoria di laman sendiri, awal pagi Isnin ini.

Mereka kemudian akan berdepan Cagliari dan Roma sebelum berusaha mengatasi defisit 0-1 dalam aksi pertama menentang Lyon, lantas menempah tempat dalam kejohanan mini di Lisbon, Portugal, bagi memutuskan pemenang UCL.