Diego Costa akhirnya menyelesaikan perpindahannya kembali ke Atletico Madrid dari Chelsea, selepas kedua-duanya mencapai persetujuan dan pendaftarannya akan sah bermula pada 1 Januari 2018.

Atletico bersetuju dengan yuran perpindahan EUR60 juta (RM298 juta) pada Khamis lalu dan segala-galanya kini bergantung kepada keputusan ujian kesihatan dan syarat persendirian yang dipersetujui bersama penyerang berusia 28 tahun itu.

Skuad kendalian Diego Simeone itu digantung daripada mendapatkan mana-mana pemain sehingga awal tahun depan, membuatkan khidmat Costa hanya akan digunakan pada Januari.

"Saya sangat gembira dapat kembali ke sini. Saya sering mengatakan bahawa Atletico adalah rumah saya. Saya terlalu gembira," kata Costa dalam laman web rasmi Atletico Madrid.

Costa yang menjaringkan 63 gol ketika bersama Atletico pada tahun 2010 sehingga 2014, diberikan jersi nombor 18 dan tidak sabar untuk kembali beraksi selepas disingkirkan daripada skuad utama Chelsea oleh pengurus pasukan, Antonio Conte.

Dia mendakwa Conte telah menghantar pesanan ringkas kepadanya untuk memberitahu bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan, membuatkan penyerang Sepanyol itu menolak untuk menyertai sesi latihan dan menyifatkan Chelsea melayannya seperti seorang "penjenayah".

Bagaimanapun, Conte membalas tindakan itu dengan memberi kenyataan bahawa Costa kekal bukan pilihannya walaupun penyerang itu bersedia untuk bersama pasukan, sebelum mendapatkan seorang lagi penyerang Sepanyol, Alvaro Morata.

Selepas mencapai persetujuan dengan Atletico, Conte tetap menyatakan penghargaannya terhadap penyerang yang menjadi penjaring terbanyak pasukan sepanjang tiga tahun berada di Stamford Bridge itu, menjaringkan 59 gol daripada 120 penampilan.

"Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang telah Costa berikan kepada pasukan. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Saya tidak lupakan bahawa kami memenangi kejuaraan liga bersama-sama pada musim lalu," kata Conte.