Diego Costa berkata dia gemar berdepan Real Madrid kerana "pertempuran" yang tidak dapat dielakkan dengan Sergio Ramos dan Pepe.

Penyerang Chelsea itu menyertai Atletico Madrid pada 2007 dan menjadi tonggak utama di bawah kendalian Diego Simeone sebelum berhijrah ke Stamford Bridge pada 2014.

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui dia sangat menggemari perlawanan berdepan Real kerana berpeluang untuk menewaskan gandingan pertahanan Los Blancos.

"Saya sangat suka perlawanan berdepan Real Madrid kerana berpeluang berdepan Pepe dan Ramos," katanya kepada Sport TV.

"Ia adalah pertembungan yang baik di mana kami sentiasa mempunyai masalah dan suasananya amat tegang.

"Saya boleh memberi jaminan mereka juga menyukai suasana itu!.

"Kami masuk ke padang menyedari perlawanan bakal berlangsung sengit tetapi apa yang paling penting adalah kesetiaan. Mereka bermati-matian, begitu juga saya tetapi dengan penuh rasa hormat."