Pertahanan Costa Rica, Kendall Waston, menegaskan pasukannya telah bersedia untuk berdepan asakan bertali-arus Xherdan Shaqiri dan rakan sepasukan Switzerland menjelang aksi pada awal pagi esok.

Shaqiri menjaringkan gol kemenangan buat Switzerland ketika menewaskan Serbia dalam aksi kedua peringkat kumpulan, Sabtu lalu, sekali gus meletakkan pasukannya hanya selangkah ke pusingan kedua.

Pemain Stoke City itu melibatkan diri dalam lima daripada enam jaringan terakhir Switzerland dalam Piala Dunia, termasuk ledakan hatrik sewaktu menewaskan Honduras dalam saingan empat tahun lalu untuk mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terbaik.

Pengendali Switzerland, Vladimir Petkovic, menerapkan corak permainan yang berpandukan prestasi Shaqiri ketika bertemu Serbia tetapi Waston menegaskan Costa Rica perlu fokus kepada corak permainan sendiri dalam usaha untuk mengelakkan kempen Piala Dunia tanpa sebarang kemenangan.

"Shaqiri memiliki potensi bukan?" kata Waston.

"Kami sedar akan kualitinya tetapi apa yang penting adalah permainan kami. Kami harus lebih teguh dan kukuh di barisan bawah dan atas. Peluang perlu dicipta dan diharapkan mampu diterjemah kepada jaringan.

"Kebiasaannya, kami tidak meletakkan fokus secara terperinci kepada sesuatu perkara, sebaliknya melihat kepada aspek yang mampu memberikan perubahan. Anda tidak boleh berehat dalam setiap perlawanan.

"Beraksi di tahap tertinggi dalam Piala Dunia, anda perlu sentiasa berhati-hati."

Costa Rica berdepan kritikan daripada peminat mereka sendiri selepas tewas di tangan Serbia dan Brazil, sekali gus gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam aksi di Russia.

Namun, Waston, yang kini mewakili Vancouver Whitecaps di Amerika Syarikat, tetap menganggap aksi terakhir peringkat kumpulan adalah perlawanan yang penting.

"Saya tidak rasa kami bebas daripada sebarang tekanan.

"Kami mahu mendapatkan keputusan positif. Sasaran kami adalah menamatkan kempen di Russia dengan kemenangan," katanya.