Douglas Costa menambat hati Brazil untuk kembali dalam perlawanan persahabatan menentang Jepun dan England bulan depan manakala Alex Sandro turut terpilih berbanding Filipe Luis.

Costa, yang dipinjamkan di Juventus dari Bayern Munich, gagal mendapat tempat dalam pasukan Selecao yang dibimbing Tite itu dalam empat perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, dia akan menggunakan kesempatan kali ini untuk merebut slot dalam temasya Russia 2018.

Pemain sayap tersebut menjaringkan gol pertamanya bersama Juve dalam kekalahan 2-1 kepada Lazio di laman sendiri, hujung minggu lalu, dan jurulatih Brazil itu kagum dengan prestasinya kebelakangan ini.

"Kami pernah memilihnya beberapa kali pada saat dia berdepan masalah dan ia menafikan peluangnya untuk memberi persembahan terbaik," kata Tite.

"Musimnya di bawah (Pep) Guardiola (di Bayern) lebih baik berbanding di bawah (Carlo) Ancelotti. Dia kini telah berpindah dan (Massimiliano) Allegri melihat dia bermain dengan baik.

"Dalam perlawanan menentang Torino dan Sporting, dia kembali ke tahap semulajadinya," katanya.

Rakan sepasukan Costa di Juve, Alex Sandro, menjadi pilihan utama berbanding Filipe Luis sebagai pemain sokongan kepada Marcelo di pertahanan kiri, manakala Diego Souza, Giuliano dan Taison juga kembali tersenarai.

Selecao akan menghadapi Jepun di Lille pada 10 November sebelum berlepas ke London untuk menguji England di Wembley, empat hari kemudian.

Skuad Brazil:

Alisson (Roma), Cassio (Corinthians), Ederson (Manchester City); Alex Sandro (Juventus), Marcelo (Real Madrid), Dani Alves (PSG), Danilo (Manchester City), Jemerson (Monaco), Marquinhos (PSG), Miranda (Inter), Thiago Silva (PSG); Casemiro (Real Madrid), Diego (Flamengo), Fernandinho (Manchester City), Giuliano (Zenit), Paulinho (Barcelona), Philippe Coutinho (Liverpool), Renato Augusto (Beijing Guoan), Willian (Chelsea); Diego Souza (Sport Recife), Dougas Costa (Juventus), Roberto Firmino (Liverpool), Gabriel Jesus (Manchester City), Neymar (PSG), Taison (Shakhtar Donetsk).