Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa, mengalami kecederaan kaki selepas menyumbat gol pertamanya di pentas LaLiga musim ini, kata pengurus pasukan, Diego Simeone.

Costa tidak menjaringkan gol dalam liga sejak Februari lalu tetapi menamatkan penantiannya menerusi tandukan hasil daripada sepakan sudut Antoine Griezmann.

Jaringan itu membolehkan Atletico terus mengekori Barca di puncak liga tetapi skuad bimbingan Ernesto Valverde itu bangkit untuk menafikan hasrat Simeone memenangi pertemuan itu dalam tempoh tujuh tahun sejak bergelar pengurus Atletico.

Lionel Messi membuka ruang buat pemain gantian, Ousmane Dembele, yang masuk ke dalam untuk melepaskan tendangan menewaskan Jan Oblak walaupun pertahanan, Lucas Hernandez, berada di atas garisan gol untuk menafikannya.

Ketika itu, Costa telah dikeluarkan dan Simeone mengesahkan pemain Sepanyol kelahiran Brazil itu meminta untuk keluar akibat kecederaan.

"Dia ingin keluar kerana tidak berasa selesa dengan kakinya," kata Simeone.

Situasi itu membuatkan Costa belum pasti dapat diturunkan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Monaco, Rabu ini.

Namun, Simeone mahu Costa segera pulih kerana berpendapat kemungkinan jaringan pertamanya dalam 10 perlawanan itu mampu menjadi titik permulaan musim ini.

"Kami mengharapkannya," tambah Simeone.

"Dia seorang haiwan buas dan setiap kali berada di atas padang, pasukan kami berpeluang untuk menang."