JUVENTUS 0 MILAN 0
(Juventus mara ke final berdasarkan gol di tempat lawan)

Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, tetap gembira dengan prestasi Cristiano Ronaldo setelah pemain itu "tidak bernasib baik" gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Milan dalam aksi separuh akhir Coppa Italia, awal pagi tadi.


Tendangan penalti itu menggegarkan tiang pada minit ke-16 untuk Juve seri 0-0 di tempat sendiri kepada lawan yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain dalam pertemuan timbal balik berkenaan.

Begitupun, bekalan ketika terikat 1-1 -- juga menerusi sepakan penalti -- dalam pertembungan pertama awal Februari lalu sebelum penularan COVID-19 sudah memadai biarpun pemain itu gagal menjelmakan persembahan terbaiknya di gelanggang tertutup di Turin.



Bercakap kepada Rai Sport selepas perlawanan profesional pertama di Itali itu sejak wabak COVID-19 melanda, Sarri berkata: "Saya meminta Ronaldo untuk memainkan peranan yang lebih penting, dia dengan senang hati mencubanya dan dia melakukan apa yang diperlukan ketika ini.

"Dia mungkin tidak biasa gagal dalam sepakan penalti, rembatannya yang mengenai bahagian dalam tiang boleh melantun ke mana-mana sahaja jadi dia tidak bernasib baik.

"Saya tidak fikir meletakkannya beberapa meter jauh dari rakan sepasukan akan memberi perbezaan besar kepada pemain handalan. Semua pemain beraksi baik dalam 30 minit pertama sebelum mulai tenggelam."

Juara bertahan Serie A itu akan berhadapan dengan Napoli atau Inter dalam final Coppa Italia di Rom pada pertengahan minggu depan, lantas Sarri menambah: "Jelas selepas tiga bulan (saingan tertangguh), dapat kembali di tepi padang dan melihat pasukan saya beraksi adalah satu perasaan sensasi yang baik,walaupun tidak sama kerana tanpa peminat.

"Saya sangat terkejut dan berpuas hati dengan aksi selama 30 minit pembukaan kerana kami menggerakkan bola dengan begitu cepat dan menguasai perlawanan sepenuhnya, bahkan sebelum insiden kad merah.

"Selepas itu, kami mula memperlahankan tempo, keamatan dan tekad mental tetapi itulah risikonya beraksi di stadium kosong.

"Kami telah beraksi dengan baik melalui satu dan dua sentuhan, kemudian kami melambatkan permainan dan kehilangan rentak selain lebih tertumpu kepada pergerakan individu dengan mengamalkan terlalu banyak sentuhan.

"Perkara positifnya ialah kami sama sekali tidak membiarkan pihak lawan melancarkan gerakan. Kami memerlukan masa untuk mengembalikan kecergasan dan mental ke tahap 100 peratus. Jika anda membandingkannya dengan aksi pra-musim yang kebiasaannya akan diadakan awal Julai, tetapi ini lebih buruk daripada pra-musim kerana kami telah berehat lebih lama.

"Ia akan memerlukan kesabaran tetapi 30 minit pertama yang saya saksikan hari ini adalah petanda yang sangat baik."