AC MILAN 0 LAZIO 1
(Lazio ke final dengan agregat 1-0)

Lazio melengkapkan misi membalas dendam ke atas AC Milan dengan kemenangan 1-0 dalam separuh akhir kedua Coppa Italia di San Siro, awal pagi tadi, hanya 11 hari selepas ditewaskan seteru Serie A itu, yang turut menyingkirkan mereka dalam edisi lalu.


Kemenangan 1-0 Milan dalam saingan liga di Stadio Olimpico, 14 April lalu, meletakkan pasukan itu di landasan tepat untuk menamatkan musim di tangga empat teratas bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Bagaimanapun, jaringan kemenangan Joaquin Correa dalam babak kedua di San Siro awal pagi tadi memberikan lebih kemanisan buat skuad kendalian Simone Inzaghi itu.

Pelawat memaparkan aksi bersemangat tinggi dalam babak pertama sebelum meningkatkan asakan selepas waktu rehat menerusi percubaan bertali arus ke gawang yang dijaga Pepe Reina sebelum Correa menjaringkan gol yang melepasi celahan kaki penjaga gol itu.

Pemain Rossoneri, Franck Kessie dan Tiemoue Bakayoko, mencetus kemarahan penyokong Lazio sewaktu meraikan kemenangan mereka ketika di Rome, namun situasi itu diterbalikkan skuad kendalian Inzaghi itu dengan menempah tiket ke final untuk berdepan sama ada Fiorentina atau Atalanta.

Kedua-dua pasukan memaparkan keinginan tinggi dalam perlawanan penuh aksi itu dengan Sergej Milinkovic-Savic tersungkur kesakitan dan dilihat terhincut-hincut ekoran kecederaan lutut, sebelum rakan sepasukannya, Ciro Immobile, bijak melepasi kawalan untuk melakukan percubaan rendah dari dalam kawasan penalti yang tepat ke dakapan Reina.

Tindakan Lucas Leiva, yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, membenarkan Calabria melakukan percubaan tepat, namun Thomas Strakosha bertindak tangkas untuk menolak keluar.

Calabria kemudian terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kekejangan otot sebelum Bastos dan Correa terlepas peluang keemasan buat Lazio menjelang waktu rehat.

Lucas melakukan sepakan lencong menarik dalam usaha Lazio memberikan tekanan awal ke kubu Milan, namun Reina sekali lagi menyelamatkan keadaan sebelum tandukan Bastos tersasar jauh.

Gol tunggal perlawanan akhirnya tiba selepas Immobile memanfaatkan serangan balas pantas untuk melakukan umpanan yang tepat ke kaki Correa, yang melakukan aksi 'nutmeg' bagi menewaskan Reina bagi membawa Lazio ke final.