NAPOLI 1 INTER 1
(Napoli mara menerusi agregat 2-1)

Antonio Conte berasakan Inter lebih layak untuk ke final Coppa Italia setelah terikat 1-1 dalam pertemuan kedua separuh akhir dengan Napoli yang menyaksikan mereka tersingkir 1-2 secara agregat.


Inter tewas 0-1 di San Siro Mac lalu sebelum saingan di Itali itu tertunda berikutan ancaman COVID-19.

Beraksi buat pertama kalinya sebaik musim ini bersambung, Nerazzurri bertindak pantas apabila memadam defisit jaringan selepas Christian Eriksen merakamkan jaringan terus daripada sepakan penjuru sejurus dua minit pertembungan di San Paolo itu dimulakan.

Bagaimanapun, gol penyamaan Dries Mertens ketika menuju waktu rehat -- gol ke-122 peribadi yang menjulang namanya sebagai penjaring terbanyak Napoli sepanjang zaman -- terbukti cukup penting dalam menentukan seteru yang bakal dihadapi Juventus Khamis ini.




Conte gembira dengan prestasi pasukannya secara keseluruhannya sambil menggariskan ketangkasan penjaga gol Napoli, David Ospina -- selain ketumpulan di kubu lawan -- sebagai alasan di sebalik mereka gagal membuat kunjungan ke Rom.

"Berdasarkan kedua-dua perlawanan, kami seharusnya layak mendapat keputusan yang lebih baik," kata pengurus itu dalam wawancara pasca perlawanan bersama Rai Sport.

"Daripada segi prestasi, saya tidak boleh banyak merungut mengenai pemain. Inilah bola sepak yang ingin kami persembahkan; kami banyak mencipta gerakan dan agresif. Mungkin kami seharusnya lebih klinikal di depan gawang tetapi Ospina menjelmakan keajaibannya.

"Jaringan mereka sesuatu yang mengecewakan kerana ini adalah situasi serangan yang kami sepatutnya mampu hindari. Tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami meniti di landasan yang tepat, kami mengawal permainan ketika menentang sebuah pasukan yang mantap.

"Apa yang saya harapkan hampir dipenuhi. Kami mencipta deretan peluang dengan 18 percubaan. Ospina merupakan pemain terbaik di atas padang.

"Jelas, kami masih boleh meningkat dan penyudah kami harus lebih tajam pada masa depan tetapi saya tidak perlu mengeluh daripada segi keinginan dan tekad.

"Kami melakukan apa yang telah kami usahakan dalam latihan. Ini mengecewakan bagi barisan pemain kerana kami gagal lolos ke final memandangkan berdasarkan apa yang kami telah lakukan selama 180 minit, kami seharusnya berhak."

Inter akan menumpukan kepada perjuangan dalam perlawanan pertama Serie A menentang Sampdoria, hujung minggu depan, sebaik musim ini bersambung selepas dilanda COVID-19 .