Coppa Italia: Ibrahimovic mohon maaf jadi punca Milan tersingkir -- Pioli

Oleh Muzaffar Musa 27 Januari 2021 1255
Coppa Italia: Ibrahimovic mohon maaf jadi punca Milan tersingkir -- Pioli
Zlatan Ibrahimovic memohon maaf kerana dilayangkan kad merah yang menyebabkan AC Milan tersingkir daripada saingan Coppa Italia selepas tewas kepada seteru setempat, Inter Milan, kata ketua jurulatih pasukan itu, Stefano Pioli.

Ibrahimovic, yang menjaringkan golnya yang ke-499 sepanjang karier kelab untuk memberikan Milan gol pendahuluan, diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari Aleksandar Kolarov sebelum sejam permainan.

Romelu Lukaku menyamakan kedudukan menerusi sepakan penaltinya tidak lama selepas itu dan gol sepakan percuma Christian Eriksen dalam waktu kecederaan memastikan kemenangan Inter dalam pertembungan Derby della Madonnina penuh kontroversi itu.

Ibrahimovic dilayangkan kad kuning pertama selepas bertengkar dengan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Lukaku.

Kedua-dua penyerang itu bertikam lidah dalam suasana tegang sebelum Ibrahimovic dikesan menggunakan kata-kata tidak sopan kepada lawannya itu.

Ia menjadi satu kesilapan besar dan Milan perlu menanggung padah daripada masalah disiplin Ibrahimovic itu tetapi Pioli mendedahkan bahawa pemain berusia 39 tahun berkenaan telah memohon maaf.

"Ibrahimovic sudah memohon maaf. Dia tahu dia telah mendatangkan masalah buat pasukan ini," kata Pioli.

"Dia memohon maaf kerana dia seorang yang hebat dan seorang juara.
 
"Amat jelas bahawa perlawanan ini menjadi lebih sukar tanpa seorang pemain dalam perlawanan yang amat seimbang. Ia tidak sepatutnya berlaku tetapi malangnya ia berlaku.

"Kami berasa keletihan pada 30 minit terakhir dan kami tidak dapat keputusan yang positif.

"Kami mahukannya dan sudah bersedia untuknya. Sekarang kami perlu kembali fokus kepada perlawanan liga menentang Bologna," katanya.

Milan berada di tangga teratas Serie A dengan berkelebihan dua mata di depan Inter ketika mereka menyasarkan untuk menamatkan penantian 10 tahun dalam memenangi Scudetto.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen