Gennaro Gattuso berterima kasih kepada barisan pemain Napoli atas dedikasi "luar biasa" mereka selepas membenam Inter untuk menempah tiket ke final Coppa Italia.

Dries Mertens muncul penjaring terbanyak kelab Serie A itu sepanjang zaman apabila membatalkan jaringan pembukaan Christian Eriksen untuk merakamkan keputusan seri 1-1 di Stadium San Paolo, awal pagi tadi.

Keputusan itu sudah memadai untuk menghantar Napoli mengadakan pertemuan dengan Juventus hasil kemenangan agregat 2-1 dalam separuh akhir kedua itu.

Adik perempuan Gattuso, Francesca, meninggal pada usia 37 tahun awal bulan ini, justeru Napoli menujukan kejayaan pasukannya itu buatnya sambil memuji tonggaknya.

"Saya tujukan kejayaan ini buat adik dan keluarga saya," katanya menerusi laman sesawang kelab.

"Pemain-pemain luar biasa ini mempamerkan dedikasi di atas padang. Saya berterima kasih kepada mereka kerana mereka berjuang untuk saya dan mereka sangat rapat.

"Saya mempunyai pasukan yang berkualiti tetapi ada kemahuan untuk menderita kerana bukan semua strategi yang diterapkan menjadi. Setelah dibolosi gol pertama atas sebab kelekaan jadi bukan mudah untuk bangkit.

"Kami menunjukkan karakter dan saya harus mengatakan bahawa daripada segi ketekalan, kami mulai mendapat rentak di mana kami berhenti. Kami melalui fasa yang sangat sukar, malah bukan mudah untuk berlatih dalam keadaan darurat kesihatan."



Gol Mertens yang ke-122 buat kelab itu menyaksikannya melepasi rekod Marek Hamsik (121) sebagai penjaring gol terbanyak kelab itu.

Pengurus itu gembira dengan prestasi pasukannya selepas jaringan yang dilakukan pemain kelahiran Belgium tersebut pada minit ke-41.

"Selepas gol Mertens itu, kami lebih bebas mengatur gerakan dan kami beraksi dengan lebih baik," katanya.

"Pemain saya telah mencurahkan segalanya daripada segi komitmen dan persediaan. Kami akan beraksi dalam final dengan kekuatan sendiri.

"Sekiranya kami terus berada di landasan ini, kami akan memperoleh kepuasan yang besar terhadap diri sendiri."

Napoli akan menentang Juventus dalam final di Rom awal pagi Khamis ini.