Palmeiras mara ke perlawanan Copa Libertadores buat julung kalinya sejak 2000 selepas merobek ego River Plate di sebalik tumbang dalam pertemuan perlawanan kedua, sebentar tadi.

Gol separuh masa pertama daripada Robert Rojas dan Rafael Santos Borre meletakkan River meniti di landasan yang tepat untuk mengatasi defisit 0-3 dalam pertemuan separuh akhir lalu di Sao Paulo.

Juara 2018, River, berputih mata apabila satu gol mereka dibatalkan pada awal babak kedua selain rayuan sepakan penalti mereka tidak diendahkan sejurus Rojas dilayangkan kad merah untuk Palmeiras bertahan dengan agregat 3-2.

River merapatkan jurang perlawanan dalam separuh masa pertama apabila Rojas menghasilkan tandukan cemerlang untuk menyambut sepakan sudut Nicolas De La Cruz sebelum Borre menanduk masuk hantaran silang Matias Suarez pada minit ke-44.



River menyangka mereka berjaya mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-52, tetapi gol Gonzalo Montiel dibatalkan akibat ofsaid hasil pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR).

Perlawanan semakin rancak dengan dram di atas padang hingga mendorong Rojas dibuang padang pada minit ke-73 gara-gara mengutip kad kuning kedua.

Dua minit kemudian, River yang pada awalnya dihadiahkan sepakan penalti ekoran terjahan Alan Empereur terhadap Suarez, akhirnya kempunan apabila keputusan itu dibatalkan menerusi VAR.

Khidmat teknologi rakaman itu sekali lagi diketengahkan pada minit ke-100 atas rayuan penalti oleh tuan rumah, sebaliknya Palmeiras mengesahkan tiket ke final untuk menentang Santos atau Boca Juniors yang akan berentap pagi esok.