RIVER PLATE 3 BOCA JUNIORS 1
(River menang dengan agregat 5-3)

Jurulatih Boca Juniors, Guillermo Barros Schelotto, meluahkan kesedihannya selepas pasukannya tewas dengan agregat 3-5 kepada seteru utama, River Plate, dalam perlawanan akhir Copa Libertadores, awal pagi tadi.


Perlawanan kontroversi itu terpaksa diadakan di Santiago Bernabeu, Madrid, yang memihak kepada River, yang memperoleh kemenangan 3-1 ke atas 10 pemain Boca.

Selepas dua kali perlawanan itu ditangguhkan bulan lalu akibat serangan ke atas bas Boca, River muncul juara hasil jaringan Juan Quintero dan Gonzalo Martinez dalam masa tambahan.

Boca terlebih dahulu memecah kebuntuan perlawanan melalui jaringan menakjubkan Dario Benedetto sebelum separuh masa pertama berakhir sebelum Lucas Pratto menyamakan kedudukan untuk River yang menjulang trofi Copa Libertadores buat kali keempat.

Berdepan media selepas perlawanan itu di ibu kota Sepanyol, Schelotto tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan berkata kepada wartawan: "Satu-satunya perkara yang saya rasa sedih adalah kegagalan memenangi piala untuk dihadiahkan kepada peminat Boca.

"Itulah satu-satunya perkara yang membuatkan saya berasa kecewa -- tidak membawa piala ke Boca."

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain Boca yang telah berjuang. Walaupun kami beraksi dengan kekurangan pemain dalam perlawanan akhir, mereka terus memberikan cabaran, berjuang dan berjuang," tambah Schelotto.

"Kemudian, (saya ingin) mengucapkan tahniah kepada River yang muncul juara dan memenangi piala itu."

Rayuan Boca supaya gelaran Copa Libertadores dianugerahkan kepada mereka ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Sabtu lalu.

Selepas badan induk Amerika Selatan, CONMEBOL, menolak rayuan Boca, gergasi Argentina itu mengheret kes berkenaan ke CAS tetapi tidak berjaya apabila aksi itu dipindahkan ke gelanggang Real Madrid.

"Kadang-kadang, kami kelihatan seperti tidak mampu memperbaiki situasi ini," kata Schelotto. "Tidak banyak perkara yang boleh kami pelajari dengan orang di sini dan di stadium ini, saya harap kami menimba banyak ilmu tetapi adakalanya ia kelihatan tidak boleh diperbaiki.

"Jika perlawanan akhir ini berulang lagi dalam tempoh beberapa tahun ini, maka pertembungan kami tidak boleh dilangsungkan di Argentina.

"Pada ketika ini di negara kami, mereka mengatakan membaling batu ke arah bas pelawat adalah perkara biasa. Tidak, itu tidak normal.

"Ia seperti memasuki sebuah kedai dan membaling batu kepada seseorang. Semoga perkara ini boleh berubah tetapi dalam aspek sukan ia sudah pun berakhir, River telah menang."

Lionel Messi dan Antoine Griezmann adalah antara penonton yang hadir di Santiago Bernabeu, termasuk bintang Juventus, Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci, Rodrigo Bentancur dan Paulo Dybala.

Pemain Barcelona, Jordi Alba, dan perancang Bayern Munich, James Rodriguez, juga antara bintang yang hadir.