Copa Libertadores: Boca ancam pulaukan aksi final 

Oleh Penulis Jemputan 28 November 2018 204
 Copa Libertadores: Boca ancam pulaukan aksi final 
Boca Juniors akan menolak sebarang perlawanan timbal balik sehinggalah gelaran Copa Libertadores diberikan kepada mereka, pendirian itu disuarakan Presiden, Daniel Angelici.

Semalam, Presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez,  mengumumkan pertemuan kedua perlawanan akhir itu -- ditangguhkan akibat serangan penyokong lawan ke atas bas pasukan Boca sebelum sepak mula pada Sabtu lalu -- akan dimainkan di luar Argentina, sama ada pada 8 atau 9 Disember nanti. 

Tarikh dan gelanggangnya belum ditetapkan tetapi Boca, yang pemainnya mengalami kecederaan dalam serangan itu, menegaskan tidak akan beraksi dalam perlawanan akhir yang dijadualkan semula itu. 

"Boca mendengar dengan teliti ucapan presiden itu," kata Angelici kepada wartawan. "Kami  memutuskan untuk mengemukakan permintaan supaya kelayakan River dibatalkan. 

"Hari ini, kami memperluaskan petisyen dengan menyediakan sebanyak 46 helai dokumen, video, gambar dan keterangan. Tribunal Tatatertib perlu menjawabnya. 

"Saya harap mahkamah dapat memberikan jawapannya yang kukuh. Kami tidak sanggup meneruskan perlawanan sehingga keputusan mahkamah dibuat. Kami percaya ada alasan untuk menyatakan permintaan kami.

"Sekiranya keputusan mahkamah adalah negatif, kami akan melihat sama ada kami mempunyai alasan yang kukuh. Jika tidak, kami akan mengemukan rayuan kepada kepada Jawatankuasa Rayuan CONMEBOL.

"Penjadualan semula perlawanan sepatutnya terpulang kepada keputusan Jawatankuasa Eksekutif CONMEBOL, bukannya Tribunal Tatatertib. 

"Kami mahu mereka mematuhi undang-undang, kami percaya dalam CONMEBOL, terdapat sebab mengapa permintaan Boca boleh diterima secara positif.

"Saya mempunyai kewajipan untuk mempertahankan Boca. Ia adalah fakta yang sangat serius, kita tidak perlu menunggu sehingga ada orang mati untuk membuat keputusan. River mencetuskan banyak kekacauan dalam Copa Libertadores ini. 

"Hari ini, pihak yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan adalah Tribunal Tatatertib dan Penggantungan, saya tidak berpuas hati dengan penetapan tarikh baru untuk perlawanan ini, namun ia adalah tanggungjawab jawatankuasa eksekutif. Kami tidak fikir kami akan beraksi dalam perlawanan akhir."

Presiden River Plate, Rodolfo D'Onofrio, mendedahkan dia diberi jaminan oleh Presiden Argentina, Mauricio Macri -- presiden Boca sebelum ini -- bahawa perlawanan akhir akan dimainkan di gelanggang keramat pasukannya, Stadium El Monumental.

"Penasihat yang sangat rapat dengan Macri memberitahu saya bahawa kerajaan akan memberi jaminan dan keselamatan untuk melangsungkan perlawanan di River," kata D'Onofrio kepada Radio La Red.

"Rundingan dengan Angelici berjalan dengan sangat mesra. Semua pihak sudah menyatakan pendirian. Saya tahu, perlawanan ini perlu diteruskan kerana River tidak bersalah.

"Lebih parah lagi, saya terkejut dengan langkah yang dibuat Angelici. Saya terkejut apabila mereka membentangkan permintaan agar kelayakan kami dibatalkan, semalam." 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen