Copa del Rey: Zidane tidak kesal Madrid tewas

Oleh Staff Writer 7 Februari 2020 492
Copa del Rey: Zidane tidak kesal Madrid tewas
REAL MADRID 3 REAL SOCIEDAD 4

Zinedine Zidane berpendapat kesebelasan utama yang diturunkan dalam aksi suku akhir Copa del Rey ketika tewas 4-3 di tangan Real Sociedad di Santiago Bernabeu sudah cukup untuk meneruskan kemaraan.


Dalam aksi awal pagi tadi, pemain Real yang dipinjamkan kepada lawan, Martin Odegaard, membuka tirai jaringan sebelum dua gol Alexander Isak membolehkan pelawat mendahului 3-0 sebelum sejam perlawanan.

Marcelo meledakkan satu gol buat Los Blancos dan selepas Mikel Merino menjadikan kedudukan 4-1, jaringan lewat daripada pemain gantian, Rodrygo Goes dan Nacho, membuatkan pelawat cemas, terutama setelah Andoni Gorosabel diperintah keluar padang susulan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan.

Alphonse Areola dilihat menjadi punca kepada jaringan Odegaard sambil James Rodriguez dikeluarkan ketika rehat dan Brahim Diaz gagal mencetuskan impak besar dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, Zidane mengekalkan kapten, Sergio Ramos, Toni Kroos, Vinicius Jr dan Karim Benzema dalam kesebelasan utama dalam usaha memburu kemenangan.

"Saya menurunkan pasukan yang saya fikir mampu menjalankan tugas dengan baik," katanya.

"Saya tidak fikir kami mempunyai masalah tetapi lawan beraksi cemerlang sehingga memberi kesan kepada kami.

"Kami bersatu, ketika menang atau kalah."

Zidane berkata Real mula menyesuaikan diri dengan perlawanan selepas rehat, hanya untuk melakukan lebih banyak gerakan dan mengatasi kelemahan pertahanan.

"Babak kedua lebih bagus berbanding separuh masa pertama dan kami mencuba sehingga akhir permainan," katanya.

"Kami tetap mencuba walaupun ketika ketinggalan 4-1. Lawan beraksi cemerlang dan dalam babak pertama, kami sukar berdepan tekanan. Kami juga melakukan kesilapan di bahagian pertahanan."

Pendahulu LaLiga, Real Madrid, akan bertandang ke Osasuna untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam liga domestik Ahad ini.

"Ia menyakitkan, ya, anda perlu jelaskan kebenarannya," tambah Zidane.

"Namun, anda harus fikirkan tentang Ahad. Anda harus pulih kerana telah berusaha gigih."



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen