Copa del Rey: Real Sociedad cabar Athletic Bilbao realisasi final Basque 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mac 2020 88
Copa del Rey: Real Sociedad cabar Athletic Bilbao realisasi final Basque 
MIRANDES 0 REAL SOCIEDAD 1
(Sociedad mara dengan agregat 3-1)

Imanol Alguacil berharap seteru wilayah Basque, Athletic Bilbao, dapat menyertai Real Sociedad dalam final Copa del Rey selepas mara dengan agregat 3-1 apabila menang 1-0 di Mirandes.


La Real mendahului 2-1 dalam pertemuan pertama di tempat sendiri dan sepakan penalti ketua pasukan, Mikel Oyarzabal, awal pagi tadi.sudah cukup untuk mereka meraikan kejayaan di tempat lawan bagi mengesahkan tempat ke final.

Ia akan menjadi final pertama buat Sociedad dalam kancah itu sepanjang tempoh 32 tahun, namun pengurus berkenaan mengakui ia akan menjadi lebih istimewa sekiranya Athletic turut layak.

Athletic akan bertandang ke Granada dalam pertemuan kedua awal pagi esok berbekalkan kemenangan 1-0 dalam aksi pertama.

Imanol berkata: "Sudah tentu, saya mahu berjumpa Athletic kerana ia sangat bagus untuk wilayah Basque.

 
"Saya juga menggemari pasukan Granada yang dibimbing Diego Martinez atas apa yang mereka lakukan dalam LaLiga, tetapi ia sangat bagus untuk mempunyai final Basque."

Kemenangan di Mirandes itu merupakan rentetan enam kejayaan La Real, namun Imanol yakin masih banyak yang boleh ditawarkan pada masa depan apabila mereka berkunjung ke Barcelona bagi aksi LaLiga seterusnya.

"Sukar untuk menjelaskan dengan kata-kata bagaimana perasaan seseorang selepas mara ke perlawanan akhir selepas sekian lama," katanya. 

"Kami telah melalui kempen yang menarik, memenangi kesemua perlawanan, saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah menyokong kami.

"Perkara yang paling penting ketika ini ialah aksi final, tanggungjawab kami adalah untuk memenangi perlawanan akhir dan saya tidak akan senang duduk..

"Tetapi kami boleh menang dan melakukan sesuatu yang penting dalam LaLiga.

"Ini adalah detiknya dan kami telah mewujudkan peluang ini. Perkara yang terbaik masih belum tiba."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen