Diego Simeone memberi isyarat bahawa dia mungkin angkat kaki daripada Atletico Madrid pada hujung musim ini berikutan kegagalan mereka di Cornella dalam pusingan ketiga Copa del Rey.

Pendahulu LaLiga itu tersingkir awal dalam kempen Copa awal pagi tadi selepas tunduk 0-1 hasil jaringan bekas pertahanan Atletico B, Adrian Jimenez.

Ricard Sanchez pula dibuang padang Atleti dalam kekalahan yang digambarkan media Sepanyol sebagai antara persembahan paling buruk sepanjang 502 perlawanan di bawah kendaliannya.

Pengurus dari Argentina itu menamakan barisan mantap termasuk pemain termahal kelab, Joao Felix, tetapi buntu untuk mencatat sebarang percubaan tepat.

Rojiblancos juga dihantui kelab kerdil, Cultural Leonesa, musim lalu selain mereka gagal menumpaskan mana-mana seteru LaLiga dalam kempen itu sejak membenam Elche pada Januari 2017.

Simeone mengakui Atleti bergelut dalam kejohanan kalah mati -- termasuk tersingkir kepada RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu -- dan lebih mengejutkan, dia berkata isu itu perlu diambil kira sekiranya dia masih berhajat memimpin pasukan berkenaan musim depan.

"Cornella beraksi lebih baik," katanya.

"Secara keseluruhannya, mereka melakukan yang lebih baik untuk mencapai hajat mereka.

"Mereka memanfaatkan situasi bola mati dan pantas menggegar gawang.

"Anak buah saya cuba bersaing dengan cara terbaik. Dalam separuh masa pertama, kami mempunyai lebih banyak peluang sementara dalam babak kedua, ia lebih sukar. Ia semakin sukar selepas kami mengutip kad merah.

"Saingan ini tidak memberikan kami kepuasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi jalan keluarnya perlu dicari sekiranya kami ingin mencabar tahun depan."


Ketua pasukan, Saul Niguez, juga kesal dengan situasi itu dengan menambah: "Kami meminta maaf kepada peminat. Kami tidak pernah memandang sebelah mata terhadap sebarang perlawanan, tetapi dalam edisi ini kami tidak melakukannya dengan baik."

Memandangkan Atleti terkial-kial, Joao Felix terpaksa memberi laluan kepada pemain berumur 18 tahun, Mario Soriano, untuk membuat kemunculan pertama ketika permainan berbaki 15.

Bintang Portugal itu hanya mencipta satu percubaan yang dihalang sebelum dikeluarkan -- berbeza dengan penggantinya.

Dia hanya menyempurnakan 13 daripada 21 hantarannya dan kehilangan bola sebanyak 13 kali selain tiga kali gagal menyaingi bola di udara.

Namun, Simeone menjelaskan bintang depannya itu sedang mengalami kecederaan pergelangan kaki.

"Dia tercedera," katanya lagi.

"Kami mahu memperkenalkan pemain yang lebih segar. Pergelangan kakinya lebam sebab itu saya memasukkan seorang pemain yang dalam keadaan baik."