Copa Del Rey: Barca padam defisit singkir Sevilla 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Mac 2021 2337
Copa Del Rey: Barca padam defisit singkir Sevilla 
BARCA 3 SEVILLA 0 
(Barca mara ke final dengan agregat 3-2)


Ronald Koeman kagum dengan mentaliti anak buahnya selepas Barcelona menghasilkan kebangkitan "luar biasa" untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Copa del Rey dengan kemenangan 3-0 ke atas Sevilla.

Barca memulakan pertemuan kedua di Camp Nou, awal pagi tadi, itu dengan defisit dua gol sebelum mara dengan agregat 3-2 untuk bertemu Athletic Bilbao atau Levante dalam final. 

Gergasi Catalan itu menjadi tajuk utama pada awal minggu ini selepas bekas presiden, Josep Maria Bartomeu, antara individu yang ditangkap -- kemudian dibebaskan sementara atas dakwaan pentadbiran yang tidak adil dan amalan korupsi dalam perniagaan - sebagai sebahagian daripada siasatan polis terhadap Skandal 'Barcagate' tahun lalu.

Tiada tanda-tanda pergolakan dalam kem itu apabila Ousmane Dembele meletakkan Barca di depan pada minit ke-12 sebelum Gerard Pique mengikat kedudukan 2-2 secara agregat menerusi tandukan terakhir, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan. 

Lucas Ocampos sempat menghadirkan cemas apabila sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen, ketika permainan berbaki 17 minit dan pelawat bertambah pincang sebaik Fernando diperintahkan keluar padang sebelum jaringan kemenangan Pique menyusul. 

Martin Braithwaite kemudian meletakkan Barca di depan pada awal masa tambahan sementara Luuk de Jong -- yang digantikan -- menerima padah apabila mengutip kad merah kerana bantahan kerasnya dari bangku simpanan manakala Sevilla dinafikan satu lagi sepakan penalti. 

Lantas, pengurus Barca, Koeman, memuji perwatakan yang dipamerkan pasukannya yang turut menundukkan Sevilla 2-0 dalam LaLiga, hujung minggu lalu. 


 

Bekas pengurus Belanda itu berkata kepada Marca: "Kami sering menaruh kepercayaan. Kami tidak pernah menyerah dalam Copa. Ini soal mentaliti.

"Saya sebagai pengurus tidak dapat menuntut pasukan saya agar melakukan lebih baik lagi daripada apa yang saya lihat malam ini. Kami berjuang hingga ke masa tambahan dan ia amat luar biasa. Saya sangat gembira dengan kerja berpasukan malam ini.

"Kami memang berhak untuk mara. Saya fikir kami adalah pasukan yang lebih baik dalam kedua-dua pertemuan ini. Kami adalah pasukan terbaik."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen