Pemain tengah Uruguay, Matias Vecino, terpaksa diketepikan daripada baki kempen Copa America 2019 berikutan kecederaan hamstring.

Pemain Inter itu turun dalam perlawanan pembukaan ketika membenam Ecuador 4-0 semalam sebelum digantikan pada lewat permainan.

Vecino mengadu kesakitan di pahanya dan pemeriksaan lanjut mengesahkan kecederaan tersebut menuntutnya berehat.

Penyerang berbisa Uruguay, Luis Suarez dan Edinson Cavani, yang masing-masing turut dibelenggu masalah kecederaan awal tahun ini, merakam gol dalam kemenangan meyakinkan itu.

Ketua jurulatih, Oscar Tabarez, mempunyai pilihan untuk menggantikan Vecino di bahagian tengah dengan Gaston Pereiro, Lucas Torreira dan Federico Valverde antara pemain simpanan yang diketengahkan ketika mereka menentang Ecuador.

Uruguay akan menghadapi Jepun dalam perlawanan kedua, Jumaat ini, sebelum berdepan Chile, awal minggu depan.

Bekas pemain Fiorentina itu tampil dalam 30 perlawanan Serie A musim lalu dengan meledak tiga gol dan membantu Inter meraih tempat keempat.