Copa America: Uruguay lontar amaran awal 

Oleh Staff Writer 17 Jun 2019 3029
Copa America: Uruguay lontar amaran awal 
URUGUAY 4 ECUADOR 0 

Uruguay membuka kempen Copa America 2019 dengan langkah sempurna apabila membelasah 10 pemain Ecuador 4-0 di Belo Horizonte, sebentar tadi. 


Nicolas Lodeiro memberikan barisan kendalian Oscar Tabarez itu gol pendahuluan pada minit keenam sebelum Ecuador bertambah pincang sejurus Jose Quintero dibuang padang. 

Ia menjadikan tugas Ecuador untuk bangkit semakin sukar sementara Uruguay bijak memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menghukum mereka dengan jaringan penyerang bintang, Edinson Cavani dan Luis Suarez, dalam babak pertama.

Uruguay yang selesa meniti kemenangan mereka, mengukuhkan kedudukan melalui gol sendiri Arturo Mina dalam babak kedua untuk membuat permulaan impian dalam Kumpulan C, yang turut dihuni Jepun dan juara bertahan dua kali berturut-turut, Chile.

Tindakan Diego Godin yang membuat hantaran ke belakang yang lemah pada awal permainan nyaris disambar Ecuador sebelum Uruguay memecah kebuntuan.

Hantaran silang Suarez dari sebelah kanan menemui Lodeiro yang membuat dua sentuhan cantik sebelum melepaskan tendangan rendah untuk gol pembukaan. 

Uruguay menguasai permainan dan bertambah selesa pada minit ke-24 berikutan tindakan Quintero menyentuh muka Lodeiro ketika cabaran di udara mengundang padah.

Kekasaran itu mengundang kad kuning sebelum siasatan lanjut pengadil melalui video bantuan pengadil (VAR) bertukar kepada kad merah.

Bertitik-tolak daripada insiden itu, Cavani memaksa penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez, menyelamatkan dua percubaan berbahaya dengan satu daripadanya singgah di tiang gol. 

Namun, penggempur Paris Saint-Germain itu (PSG) itu akhirnya menemui sentuhan penyudah untuk membuka jaringannya dalam Copa America pada minit ke-33 apabila menyudahkan peluang dengan aksi akrobatik jarak dekat setelah menerima umpanan tandukan Godin.

Uruguay terus mencengkam kedudukan perlawanan selepas rehat. 

Suarez menggegar pintu gol lawan selepas sentuhan kepala Martin Caceres yang menyambut sepakan sudut daripada Lodeiro.

Dengan mendahului tiga gol, Uruguay mula mengendurkan asakan dan cenderung untuk menguasai bola sepanjang baki babak kedua.

Begitupun, kedudukan mereka bertambah selesa walaupun jaringan sendiri pada minit ke-78 oleh Mina itu terlebih dahulu dibatalkan kerana ofsaid, namun tinjauan lanjut VAR mendapati gol itu adalah sah. 

Sementara itu, Qatar bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat Paraguay 2-2 dalam aksi Kumpulan B. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen