Edinson Cavani berkata Uruguay amat mengidamkan kejuaraan Copa America 2019 selepas menumbangkan Ecuador, pagi tadi.

Cavani dan Luis Suarez turut mencatat nama selaku penjaring ketika Uruguay membuka kempen Kumpulan C mereka itu dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas 10 pemain Ecuador di Belo Horizonte.

Juara 15 kali itu memasang hajat besar untuk meraih gelaran Copa pertamanya sejak 2011.

Jose Quintero diusir keluar padang selepas Nicolas Lodeiro memberikan Uruguay gol pendahuluan pada minit keenam dan sejak itu, perlawanan menjadi berat sebelah.

Sentuhan pemusnah Cavani, Suarez dan gol sendiri memastikan permulaan langkah kanan buat skuad bimbingan Oscar Tabarez itu.

"Kami bersedia untuk merebut gelaran Copa America," kata Cavani selepas perlawanan.

"Kami mencipta peluang dalam babak pertama, kami dapat melangsaikannya dan ia menawarkan ketenangan kepada kami untuk mengendalikan perlawanan ini. Ini merupakan satu langkah penting."

Cavani, yang kali pertama menemui sentuhan berbisanya dalam saingan Copa America selepas 11 perlawanan, menambah: "Kami tahu mereka akan menjadi lawan yang sangat sukar. Apa yang penting, kami turun dengan tumpuan penuh dan kami dapat melakukannya."

Selepas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjadikan kedudukan 2-0 selepas setengah jam permainan, Suarez memanfaatkan kad merah Quintero pada minit ke-24 untuk mengukukan kedudukan.

Arturo Mina tertampan bola ke gawangnya sendiri ketika perlawanan bersisa 12 minit -- gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum video bantuan penadil (VAR) memihak kepada Uruguay.

"Jelas sekali, ia adalah satu keputusan yang positif memandangkan kami memperagakan permainan yang kami rancangkan," kata Suarez kepada wartawan.

"Namun, kami memiliki kelebihan seorang pemain dalam separuh masa pertama.

"Kami akan meneruskan perjuangan dengan harapan yang serupa dan keinginan yang sama, sepertimana sebelum perlawanan hari ini."

Uruguay akan bertemu dengan pasukan jemputan, Jepun, di Porto Alegre, Jumaat ini.