Diego Maradona menyelar skuad Argentina selepas kekalahan kepada Colombia dalam Copa America 2019, kelmarin, sambil melabel Tonga sekalipun mampu mengalahkan skuad bimbingan Lionel Scaloni itu.

Lionel Messi terus dibelenggu kekecewaan di peringkat antarabangsa berikutan pasukannya rebah di Salvador dengan gol daripada Roger Martinez dan Duvan Zapata.

Argentina empat kali mara ke pentas final daripada lima edisi terakhir yang menyaksikan mereka tewas kesemuanya.

Mereka masih berpeluang untuk mara ke final dalam kempen di Brazil itu tetapi perlu memantapkan prestasi dalam baki saingan Kumpulan B apabila bakal membuat perhitungan dengan Paraguay dan Qatar.

Maradona, yang menjadi tunjang kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia 1986, tidak senang dengan kelemahan fizikal dalam permainan Argentina ketika menentang Colombia yang mendapat tunjuk ajar daripada Carlos Queiroz.

"Anda menyedari bahawa Tonga pun mampu mengalahkan kami," kata Maradona kepada TyC Sports.

"Ada prestij yang kami bina dengan menggunakan tendangan dan penumbuk."

Argentina memburu gelaran antarabangsa pertama mereka sejak 1993.