Arturo Vidal berasakan Alexis Sanchez memerlukan golnya bersama Chile ketika menentang Jepun selepas mengharungi musim yang sukar di Manchester United.

Sanchez menyumbat gol pertamanya sejak Januari lalu ketika juara bertahan Copa America itu menewaskan Jepun 4-0 di Sao Paulo, sebentar tadi.

Penyerang Manchester United itu menggelecekkan Charles Aranguiz untuk jaringan pada minit ke-82 itu sebelum mencipta gerakan gol buat Eduardo Vargas, seminit berselang.

Vidal berkata jaringan itu adalah sesuatu yang amat diperlukan Sanchez, yang sekadar mengumpul dua gol dalam 27 perlawanan untuk United, musim lalu.

"Alexis memerlukan gol, dia mengharungi tahun yang sukar dan jaringan ini memberikannya keyakinan," kata pemain tengah itu.

Dua jaringan itu mengesahkan kemenangan besar Chile selepas gol tandukan Erick Pulgar dalam babak pertama dan Vargas pada minit ke-54.

Vidal, yang pasukannya akan menghadapi Ecuador dalam aksi Kumpulan C, Sabtu ini, menggesa Chile untuk terus meningkatkan persembahan.

"Bermula saat ini, kami harus memberi tumpuan kepada perlawanan itu," katanya.

"Kami sedar jika kami terus mempamerkan peningkatan, kami boleh menjadi sebuah pasukan yang sangat berbahaya."