Dani Alves percaya Brazil tidak tergugat tanpa Neymar tatkala mereka memburu kejayaan dalam Copa America 2019.

Neymar terpaksa diketepikan daripada kejohanan membabitkan negara Amerika Selatan itu selepas ditimpa kecederaan pergelangan kaki yang menjadi tamparan buat tuan rumah berkenaan.

Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bolivia, semalam.

Meskipun Alves memuji kualiti bintang Saint-Germain Paris (PSG) tersebut, ketua pasukan skuad Selecao itu berasakan Brazil tidak lemah tanpa kelibat pemain berusia 27 tahun itu.

"Saya percaya setiap kali kami menyertai pasukan kebangsaan, apabila kami menyarung seragam ini, kami perlu membuktikan kemampuan.

"Tidak kira sama ada Neymar ada atau tidak, kami perlu membuktikannya kerana kami mewakili sebuah pasukan bersejarah yang sangat dihormati di seluruh dunia," ujar pertahanan itu dalam sidang akhbar.

"Apabila anda mempunyai nilai tambahan seperti Ney, pasukan anda akan bertambah mantap tetapi tanpanya, anda hanya perlu tingkatkan kualiti dan kuasa anda, jadi kami tidak pincang tanpanya.

"Tanggungjawab kami tetap sama -- kami mewakili sejarah dan kami harus mempertahankan sejarah ini dengan penuh kehormatan."

Cafu (142) dan Roberto Carlos (125) merupakan pemain paling kerap mewakili Brazil disusuli Alves (110), namun pemain pertahanan itu yang kehabisan kontrak di PSG tidak bercadang untuk memperlahankan rentaknya.

Alves menegaskan dia kini dalam misi Piala Dunia Qatar 2022, lantas sedar dia harus mengekalkan rentak.

"Piala Dunia 2022 merupakan matlamat utama tetapi saya tidak akan membenarkan diri melihat terlalu jauh ke depan kerana apabila anda melakukannya, anda akan terlupa untuk melihat keadaan semasa," katanya.

"Saya tidak boleh mengetepikan soal semasa kerana peluang yang saya ada ketika ini tidak boleh terganggu dengan soal masa depan dan masa lalu. Apa yang penting adalah keadaan semasa.

"Saya ibarat dilahirkan semula. Apabila anda mencapai usia tertentu, anda mula membangkitkan keraguan, banyak bercakap tentang pilihan memperbaharui kontrak atau kelab yang perlu berwajah baru di samping membawa masuk lebih ramai pemain, termasuk tonggak muda.

"Namun, baik kelab mahupun skuad kebangsaan, semua itu dinilai berdasarkan keputusan perlawanan," tambahnya.

Brazil akan berdepan Venezuela di Salvador untuk aksi kedua Kumpulan A,, Rabu ini.