Jurulatih Bolivia, Eduardo Villegas, menempelak kritikan media sosial terhadap pasukannya menjelang aksi kedua Copa America 2019 menentang Peru sambil menegaskan mereka tidak boleh mengharapkan keputusan segera setelah kekalahan kepada Brazil.

Skuad dengan jolokan La Verde itu tumbang 0-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Sabtu lalu, dan kurang menghadirkan ancaman terhadap skuad kendalian Tite itu.

Walaupun jangkaan yang diletakkan ke atas skuad Bolivia adalah rendah, prestasi mereka bagaimanapun mendapatkan kritikan hebat di media sosial ekoran semangat juang yang rendah.

Bagaimanapun, Villegas menganggap label itu terlalu keras memandangkan skuad yang diketengahkannya kali ini kurang berpengalaman apabila hanya lima pemain yang terpilih pernah membuat penampilan melebihi 25 kali.

Bercakap kepada Deporte Total menjelang pertembungan dengan Peru di Rio de Janeiro, esok, Villegas berkata: "Saya harap orang yang menulis di rangkaian media sosial mendapatkan maklumat yang tepat daripada orang yang memahami bola sepak, iaitu seperti daripada pakar kerana mereka telah menjelaskan bahawa kami tidak akan dapat meraih keputusan yang memberangsangkan dalam masa yang singkat apabila membentuk sebuah skuad berwajah baru.

"Saya yakin kumpulan pemain ini akan berkembang tetapi segala-galanya perlu dibuat langkah demi langkah. Kami tidak boleh melangkaui dua langkah kerana kami akan jatuh.

"Kami menganalisis semua pilihan yang ada. Kami tahu Peru tidak akan menjadi Brazil dan kami bakal lebih mengasak, menghasilkan percubaan dan mengukuhkan pasukan berbanding ketika bertemu Brazil.

"Saya melihat sebuah kumpulan pemain yang cukup bermotivasi dan berhasrat untuk memperbaiki persembahan."

Peru pula tidak mengecewakan dalam permulaan kempen meskipun kurang menyengat ketika seri tanpa jaringan dengan Venezuela dalam satu perlawanan yang kurang bermutu.

Skuad kendalian Ricardo Gareca itu dilabel sebagai pilihan untuk menyertai Brazil melolosi Kumpulan A, namun kebuntuan dengan Venezuela meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih rumit daripada yang diharapkan.

Begitupun, Andre Carrillo menegaskan mereka tidak berasa tertekan dan yakin mereka mempunyai ramuan untuk menjamin kemaraan.

"Tiada tekanan, sebaliknya kami bermotivasi," kata pemain di bahagian serangan itu kepada pemberita di pangkalan latihan Peru.

"Orang ramai memberikan sokongan kepada kami dan keinginan kami semakin membuak-buak untuk turun dan memenangi perlawanan untuk layak ke fasa seterusnya.

"Kami akan meneruskan perjuangan dengan senjata yang kami miliki. Pasukan ini sangat bagus tetapi kami perlu mencipta lebih banyak peluang.

"Kami akan melakukan apa yang diperlukan dan kami akan memantapkan lagi aspek taktikal dengan baik."